Promosi; Majalah Sinergi Edisi ke-7

>> Wednesday, February 08, 2012

Jika anda sudah membaca majalah Sinergi edisi ke-6 sebelum ini. Jangan ketinggalan untuk dapatkan edisi ke-7 dipasaran!

Antara yang menarik untuk edisi kali ini adalah;

  • Momentum Dakwah: Jangan Simbah Minyak Pada Api
  • Global Islam: Filem, Oh Ini Tujuannya
  • Liputan program Kem Remaja Sinergi 2011
  • banyak lagi yang menarik untuk pembaca sekalian

Jangan ketinggalan, dapatkan majalah ini dari pengedar Sinergi yang berhampiran dengan tempat anda

Ini Abu Dzar ambil dari web page sinergi media


Assalamu’alaikum wbt,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, SINERGI Edisi Ke-7 yang bernafas baru bakal memberikan semua pembaca sebuah pengalaman baru memiliki Majalah SINERGI edisi kali ini.  Semoga “Wajah dan Tema” SINERGI bermula edisi ke-7 kali ini meningkatkan lagi minat para pembaca SINERGI.


HANYA RM3.00 !!!

Terima kasih juga kepada semua pembaca yang sudi memberikan komen dan kata-kata semangat kepada kami untuk kami terus meningkatkan kualiti majalah SINERGI ini. InsyaAllah kami akan sentiasa prihatin menerima komen pembaca di emel synergymedia(at)gmail(dot)com atau sms ke 019-4544871. Komen anda amat kami perlukan.

InsyaAllah kepada yang belum mendapatkan edisi terbaru majalah SINERGI, atau edisi-edisi sebelum ini, pastikan anda mendapatkannya secepat mungkin sementara stok masih ada.

Kepada semua pengedar berdafatar SINERGI, anda sudah boleh membuat tempahan kepada kami untuk tujuan penghantaran ke kawasan pengedar masing-masing. Bagi yang berminat menjadi pengedar, boleh muat turun Borang Permohonan Pengedar dan hantarkan ke emel synergymedia(at)gmail(dot)com
Bagi memudahkan proses pembelian para pembeli, kami dari pihak Synergy Media Sdn Bhd (SMSB) menyediakan satu kaedah belian yang mudah jika anda tidak mampu mencari dan membeli dari pengedar kawasan anda.

anda hanya perlu muat turun (download) dan mengisi Borang Belian Individukemudian hantar ke emel kami di synergymedia2010@gmail.com

Kaedah ke-2, anda boleh lebih mudah mendapatkan Majalah Sinergi setiap edisi dengan melanngan mengikut kehendak anda..hanya isi Borang Langganan Majalah Sinergi dan hantar ke synergymedia2010@gmail.com.

Jadi jangan ketinggalan untuk dapatkan senaskah sinergi anda secepat mungkin!

Read more...

Larangan Melihat Wanita

>> Sunday, February 05, 2012


  • jaga pandangan mata
  • jangan melihat sesuatu yang tidak halal untuk kita
  • jangan menoleh buat kali ke dua

Apa juga ayat yang digunakan, semua itu sebenarnya merujuk kepada perkara yang sama. Larangan melihat wanita.

Memang fitrah sebagai seorang lelaki akan tertarik kepada wanita. Begitu juga sebalikknya. Namun apalah maknanya fitrah jika Allah tidak redha. Berusahalah untuk medapatkan yang halal untuk dipandang. Jangan dilayan nafsu yang hanya menuntun kita kepada kemaksiatan.

Abu Dzar yakin jika kita telah ditarbiyah dengan baik, kita akan faham benar akan  larangan Allah agar kita menahan pandangan mata. Sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran;

“Katakanlah kepada kaum lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan”. Katakanlah kepada kaum wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya.” (Surah An-Nur [24]: 30-31)

Ayat ini memerintahkan agar kita dapat menahan pandangan mata dan juga memelihara kemaluan. baik lelaki mahupun wanita. Untuk bacaan yang lebih mendalam berkaitan hal ini, boleh baca di link ini.
Kerana itu,Allah memerintahkan kita untuk menutup aurat dengan sempurna! baik lelaki mahupun wanita. Menurut kefahaman umum masyarakat Malaysia, aurat bagi lelaki adalah dari pusat hingga lutut manakala wanita pula adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

Siapa pun kita, jangan sesekali memandang ringan perkara yang berkaitan dengan aurat! Abu Dzar suka untuk berpesan kepada semua agar kita menutup aurat dengan sempurna.

Niqob

Ini adalah suatu fenomena baru bagi muslimah di Malaysia. Menambah sehelai kain yang menutup muka. Atau nama lainnya adalah purdah. Abu Dzar secara peribadi tidak menyuruh dan tidak juga menghalang muslimah yang ada di Malaysia ini untuk memakai purdah. Cuma risau akan golongan berpurdah ini jauh lebih menarik perhatian lelaki di Malaysia.


Mungkin jika di timur tengah, tidak menjadi suatu keganjilan jika wanita berpurdah. Kerana memang itu adalah kod etika pemakaian mereka. Akan tetapi Abu Dzar rasa pamakaian purdah ini kurang sesuai di Malaysia kerana hanya akan menjadi tarikan bagi lelaki. Sedangkan jika kita lihat kembali garis panduan berpakaian dalam Islam bagi muslimah adalah agar tidak menjadi perhatian lelaki.

Boleh dengar ceramah Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman tentang panduan hubungan lelaki wanita di channel youtube TVsunnah. Indahnya Islam dalam menjaga wanita seperti yang di khabarkan oleh Ustaz Dr Zaharuddin adalah wanita muslimah sepatutnya pandai mengatur strategi agar orang lelaki tidak sedar akan kehadiran mereka. Atau bahasa lainnya, datang tak diketahui dan perginya tak disedari. Kalau bahasa sastera Abu Dzar pula adalah wanita bagi lelaki asing ini sepatutnya ibarat melukut di tepi gantang, masuk tak lebih, keluar tak kurang.

Bagi yang tak tau apa maksud melukut, jasa baik Pusat Rujukan Persuratan Malayu telah menterjemahkan bahawa melukut adalah pecahan beras yg halus-halus. Gantang pula adalah unit sukatan yang besarnya empat cupak dan digunakan untuk menyukat beras. Melukut ini lansung tak memberi kesan kepada jisim beras yang ada dalam cupak.

Berbalik kepada isu purdah, lelaki di Malaysia mungkin ada yang dapat menahan pandangan mereka jika bertembung dengan yang berskirt pendek. Tapi ada juga yang tidak dapat menahan pandangan mereka apabila terpandang wanita yang berpurdah. Mereka beranggapan bahawa tidak apa-apa memandang wanita yang berpurdah kerana tidak nampak apa yang berada di sebalik kain tersebut.

Jelas, tanggapan ini salah. Walaupun tidak nampak, di sebalik kain tersebut masih seorang wanita dan lalaki masih sangat perlu untuk memegang dalil dari surah 24, ayat 30. Tahan pandangan mata.
Itu yang mampu dan perlu dibuat oleh lelaki. Perkara yang boleh dibuat oleh wanita pula adalah bertudung labuh. Bukan berpurdah. Tolonglah kami kaum lelaki yang berusaha menjaga iman.

Satu artikel yang Abu Dzar rasa bagus untuk bacaan kita adalah dari tulisan dari myilham.com yang bertajuk “Niqobis Sebenarnya Lebih Menarik Perhatian Lelaki”. Ternyata perkara yang ditulis ini benar-benar berlaku di sisi lelaki.

Bertudung labuh sudah cukup baik menurut uruf di Malaysia. Nanti jika sudah semua wanita Islam di Malaysia sedah menutup aurat dengan sempurna, barulah kita ulang tinjau keparluan berpurdah untuk muslimah.

Read more...

Awasi Bahaya Istidraj

>> Monday, January 23, 2012


Pernah suatu ketika Rasulullah saw bersabda, "Jika kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya itulah istidraj".

Lalu Rasulullah saw membaca (surah al-An'aam ayat 44): Maksudnya: "Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)."(Hadis riwayat Ahmad)

Ayat tersebut adalah maksud kepada perkataan istidraj yang Rasulullah sebutkan...istidraj.

Kesenangan & Kemewahan Yang Menipu

Dewasa kini, kita banyak mendengar berita kejayaan dan kecemerlangan yang Allah berikan kepada penganut agama Islam di Malaysia. Kejayaan pelayar solo Azhar Mansor mengelilingi dunia, kejayaan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menjalankan kajian di ISS,  Kejayaan Pasukan Harimau Malaya berjaya meraih pingat emas dalam sukan SEA kali ke-26 dan paling hangat ketika ini, kejayaan pelajar cemerlang SPM tahun 2005 yang kini sedang melanjutkan pengajian di University of Nottingham.

Tidak kira apa juga kejayaan yang kita kecapi, perkara yang paling penting adalah kita lalai dengan semua rahmat yang Allah beri tersebut. Disamping itu, jangan sesekali kita berkhianat dengan merasa sombong atas kejayaan tersebut.

Apalah makna semua kejayaan tersebut ini jika tidak disertai dengan rasa syukur kepada Allah yang tidak pernah putus. Sebagai hamba yang daif, kita sangat perlu untuk merasa seba kekurangan di atas segala nikmat yang Allah berikan. Tidak mungkin kita peroleh semua yang kita ada pada ketika ini melainkan dengan izin Allah.

Lipatan sejarah peradaban manusia menceritakan bahawa ada segolongan manusia yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Kurniaan yang Allah berikan berupa kepakaran mengukir batu-batu (rujuk surah Fatir, ayat ke-9) kepada Kaum Tsamud lansung tidak menjadikan mereka lebih dekat kepada Allah. Malah lebih jauh meninggalkan Allah. Namun Allah tetap sahaja terus memberikan nikmat tersebut hinggalah mereka ini akhirnya Allah mengazab mereka dengan panahan petir.

Istidraj

Menurut Professor Dr.Qahtan Ad-Duri, Al-Istidraj adalah perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang fasik atau kafir sebagai tipu daya buat mereka. Ia akan menambahkan lagi kejahilan dan kebodohan mereka sehinggalah balasan Allah s.w.t menimpa mereka di dalam keadaan mereka lupa.

Ayat ke-182 dari surah al-A’raf ada menyebutkan bahawa

“Dan Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, akan Kami biarkan mereka beransur-ansur (kearah kebinasaan), dengan cara yang mereka tidak ketahui.

Perkataan “sanastadrijuhum” merujuk kepada Kami biarkan mereka.

Justru itu, tidakkah boleh kita faham bahawa kita sangat perlu untuk memohon agar Allah sentiasa mengawasi setiap tindak tanduk kita agar sentiasa mematuhi syariat yang Allah tetapkan. Tidak ada yang lebih penting dalam hidup ini melainkan perhatian dari Allah. Jika Allah sudah memperhatikan setiap tingkah laku kita sehari harian, maka kita akan sentiasa membuat perkara yang mendapat redha Allah sahaja. Tidak lebih dari itu.

Perhatian Allah

Sebagai penutup, Abu Dzar ingin membawa pembaca mencari jalan untuk mendapatkan perhatian Allah. Untuk tujuan tersebut, mari kita perhatikan qoute ini;

I'm happy,
you know why?
coz I'm lucky,
you know why?
coz God loves me,
you know how?
He sent me a nice friend to me,
you know who?
it's YOU

cuplikan dari http://himpunansms.blogspot.com/

Secara mudahnya, cara untuk mendapatkan perhatian Allah adalah kita cuba untuk berkawan dengan orang-orang yang soleh. Kerana mereka inilah yang akan mengingatkan kita tatkala kita terlupa dan  menegur kita tatkala kita tersilap. Mara berkawanlah dengan orang-orang yang soleh

Read more...

Belajar Hidup Susah

>> Thursday, January 12, 2012



Bayangkan kita berada pada pagi hari minggu yang indah, kita terjaga dan melakukan rutin harian di rumah. Mula dengan tahajud,sarapan pagi, bercerita bersama anak-anak, bantu isteri-isteri mengemas rumah, membaca surat khabar hinggalah tidur kembali. Hari minggu memang sangat sinonim dangan aktiviti melepak di rumah. Jika tidak kerana ingin solat berjemaah di surau atau keluar membeli barang, pasti kita akan rasa berat hati untuk meninggalkan rumah.

Zon Selesa

Ini adalah fitrah. Kita akan cenderung untuk berada dirumah kerana kita berasa selamat dan selesa berada di rumah. Rumah adalah zon selesa kita. Pasti kita akan rasa berat hati untuk meninggalkan rumah kita. Berada disamping isteri tercinta, anak-anak yang semakin membesar dan juga harta kekayaan yang telah kita usahakan. Ini akan membuatkan kita semakin tidak sanggup untuk keluar dari zon selesa.

Keselesaan kita berada di zon selesa akan membuatkan kita cenderung untuk kita hidup mewah. Berada di rumah yang besar pasti akan lebih enak jika di hias dengan set sofa dan katil yang empuk. Peti ais di dapur akan lebih berguna jika setiap kali kita buka , kita dapati pelbagai jenis makanan dan buah-buahan ada di dalamnya.

Siapa yang tidak suka jika hidup serba mewah. Tatkala teringin untuk makan nasi baryani, mudah sahaja kita dapatkan. Tatkala merasa bosan dengan handphone yang sedia ada, mudah sahaja kita tukar dengan yang lain. Dikala terfikir untuk melancong ke luar negara, sekelip mata sajaha kita sudah berada di Perancis, Jerman atau New Zealand.

Bukanlah Islam melarang kita untuk hidup serba lengkap. Tapi Abu Dzar hanya ingin mengingatkan kita semua agar sentiasa waspada terhadap kemewahan yang kita kejar. Mari kita renungkan bersama hadith Rasulullah ini;

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan diMekkah).
Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi saw. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu pada hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu". (H.R. Tirmizi)

Subahanallah, Abu Dzar merasakan seolah-olah kita adalah golongan yang Rasulullah sebutkan itu. Jika kita fahami kembali berdasarkan ayat yang dilafazkan oleh para sahabat “…tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”. Para sahabat menduga dengan kesenangan hidup akan menghantarkan diri kepada tumpuan dalam perkara ibadah kepada Allah. Namun ternyata sangkaan sahabat tersebut disangkal oleh Rasulullah saw. Rasulullah sangat faham akan titik lemah seorang manusia berdasarkan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat ke-14;

“Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”

Kesenangan hidup didunia ini adalah titik lemah manusia. Justru itu, kita harus sentiasa waspada dengan apa jua bentuk kesenangan yang datang kepada kita. Jangan sampai kita leka dan lalai hingga Allah azab dengan kesenangan tersebut. Azab yang berupa kesnangan ini dinamakan sebagai istidraj.

Belajar Hidup Susah

Dewasa kini, ibubapa atau siapa juga penjaga kepada anak-anak cenderung untuk memberikan kemewahan kepada anak-anak mereka. Berikan mereka permaian yang mereka minta, berikan mereka segala jenis gadget atau apa juga namanya yang ada dipasaran. Kesan secara tidak lansung, kita terdidik dengan kemewahan hidup. Minta sahaja, pasti akan termakbul. Kesan buruk disebalik kemewahan ini adalah mereka tidak pandai membezakan antara keinginkan dan juga kehendak.



Oleh itu, sekali lagi Abu Dzar tegaskan bahawa kita perlu belajar hidup susah. Belajar hidup susah akan membuatkan kita tahu membezakan antara kehendak dan juga keperluan. Hal ini kerana, realiti hidup pada zaman ini memerlukan celik akal yang terdidik dari kesusahan hidup sebagai panduan. Belajarlah untuk hidup susah kerana itu akan lebih mampu mengekalkan jati diri sebagai seorang Muslim. Buktinya, bacalah tinta sejarah emas kehidupan Rasulullah dan para sahabat. Tidak kira baik sewaktu berada di Makkah atau pun setelah berhijrah ke Madinah, mereka ini tetap mampu memelihara nilai sebagai seorang Muslim.

Akibat terbiasa dengan hidup susah, kita tidak pernah terbaca mana-mana kisah sahabat bermewah dengan harta. Walaupun mereka adalah businessman yang sangat kaya. Paling mengagumkan adalah infaq Abdurrahman bin Auf untuk perang Tabuk. Abdurahman menyumbangkan 200 uqiyah emas (1 uqiyah setara dengan 50 dinar) 1 dinar = 4,25 gram emas. Secara matematiknya, Abdurrahman menyumbangkan 42.5 kg emas. Bagi yang berminat untuk tahu nilai dalam Ringgit Malaysia, Abu Dzar Cuma nyatakan bahawa 1 Dinar pada ketika ini adalah hampir RM 700. Tekanlah kalkulaor, anda pasti terperanjat!

Sekali lagi Abu Dzar mengingatkan kepada pembaca, belajarlah untuk hidup susah. Kerana kesusahan akan membuatkan kita lebih rapat dengan Allah. Belajarlah untuk hidup susah, kerana kesenangan sebagai seorang Muslim adalah apabila kita dapat melihat wajah Allah di syurga yang kekal buat selama-lamanya.

Read more...

Jangan Menghina Tuhan Mereka

>> Wednesday, December 28, 2011

Sudah lama tidak menulis di MeNtaDakaKiDaL ni. Sedikit coretan kali ini untuk melepas rindu kepada minat menulis dan paling utama untuk berkongsi ilmu dengan semua pembaca blog yang tidak seberapa ini.

Krismas & Kristian
Jika umat Islam merayakan aidilfitri dan aidiladha sebagai perayaan agama, penganut agama kristian pula meraikan krismas sebagai perayaan keagamaan mereka. Krismas adalah sambutan kelahiran seorang lelaki soleh yang lahir dari rahim seorang wanita suci, Maryam.

Lelaki soleh ini dipanggil Jesus atau umat Islam kenali sebagai Isa. Tak kira apa jua nama ataupun gelaran yang diberikan, kita sebenarnya merujuk kepada individu yang sama. Seorang jejaka yang menyebarkan agama Allah ini dengan penuh rasa kasih sayang. Seorang anak yang tidak pernah merasai kasih sayang dari seorang bapa tapi sangat arif erti cinta dan berusaha untuk menyemai perasaan tersebut kepada semua insan.

Untuk artikel kali ini, Abu Dzar tidak ingin membahas tentang kesahihan tarikh 25 Desember tersebut adalah tarikh lahir Jesus. Samada ia benar atau tidak. Membahaskan perkara ini tidak lebih dari mencari lubang-lubang pertelingkahan. Justru itu, Abu Dzar rasa adalah lebih baik jika kita menjauhi garis perbezaan. Melihat kepada suasana hubungan antara agama yang agak dingin dampak beberapa kes yang pernah menjadi isu hangat di tanah air ini. Jangan kita tambah lagi keruh suasana!

Lantaran itu, artikel ini sebenarnya untuk mengingatkan sahabat Muslim sekalian untuk kita sama-sama membetulkan sikap terhadap penganut agama Kristian di negara ini. Atau mungkin juga dengan seluruh penganut agama Kristian di dunia.

Apabila tiba bulan Disember, banyak pasaraya akan menghias premis perniagaan mereka dengan pokok pine atau lebih dikenali sebagai pokok krismas. Memandangkan Malaysia adalah negara yang beriklim khaltulistiwa iaitu mengalami suhu panas dan lembap sepanjang tahun. Serta tidak ada beza 4 musim. Salji tidak akan turun. Mereka akan mengambil kapas sebagai ganti salji...salji palsu!

Di sudut lain, diletakkan patung lelaki gemuk berjambang putih berpakaian merah menaiki luncur salji dan beberapa ekor rusa. Bersama lelaki tersebut ada satu karung besar berisi kotak-kotak hadiah. Abu Dzar yakin, pembaca dapat meneka dan membayangkan seperti apakah keadaan suasana yang cuba Abu Dzar gambarkan! Ya...Santa Clause!

Dalam keseronokan mereka membuat persiapan menyambut krismas, tiba-tiba Abu Dzar terdengar sesuatu yang tidak enak. Ada segelintir Muslim cuba meracuni keharmonian antara agama di Malaysia ini.

"Aku rasa kalau Nabi Isa hidup lagi dia pun pening kepala tengok birthday party dia macam ni"

"ni la perayaan yang tak de asal usul, kalau kat Palestin tu mana ada pokok krismas ni, mana ada salji segala bagai!"

Ini adalah contoh dari sekian banyak dialog yang pernah Abu Dzar dengar menyangkut masalah sambutan hari krismas. Golongan ini seolah-olah tidak menghiraukan sensativiti agama. Tidak bolehkah kepercayaan mereka ini dihormati? Mengapa perlu dijolok sarang tebuan?

Selaku seorang Muslim yang mencintai kedamaian, kita seharusnya memberi ruang dan peluang kepada penganut agama lain yang ada di negara ini mengamalkan kepercayaan mereka tanpa rasa prejudis. Lupakah kita akan perintah Allah dalam surah al-an'am pada ayat ke 108 yang bermaksud;

Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah, kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahukan kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan.

Natijah dari membuat komen terhadap Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan hanya membuatkan agama Islam semakin jauh dari hati mereka. Segala bentuk kritikan ini sebenarnya akan membangkitkan kemarahan dan rasa tidak nyaman untuk berada dalam kelompok Muslim. Abu Dzar bukan berniat untuk mengadakan rekonsilisasi terhadap hubungan antara agama di negara ini. Cuma sekadar ingin membuka mata Muslim yang ada agar lebih matang dalam menilai.

Berada dalam kasut mereka

Sekarang mari kita lihat pula sambutan aidilfitri di negara ini. Sebatas pengetahuan yang Abu Dzar ada, premis perniagaan akan dihias dengan anyaman ketupat, deretan pelita dan mungkin buluh (baca: lemang...bukan meriam buluh).

Sekarang Abu Dzar kembalikan komen kepada anda.

"Rasulullah dulu makan ketupat ke masa aidilfitri?"

"Area Tanah Arab tu mana ada pokok buloh kan!"

Pasti ramai yang tidak selesa dan sudah ada hujah yang ingin ditegakkan kepada Abu Dzar. Sabar ya, nanti dulu. Ada legi beberapa sembutan yang dilakukan oleh orang Islam di negara ini yang menarik untuk kita lihat kembali.

Maal Hijrah

Berjalan beramai-ramai sambil membawa sepanduk dan kain rentang. Serta ditambah pula dengan alunan 'tholaal badru alaina...' Ini juga sesuatu yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah saw. Jika kita baca buku sirah, Rasulullah berhijrah hanya bersama sorang lelaki yang kemudian menjadi bapa mertuanya, Abu Bakar as siddiq. Alunan 'tholaal badru alaina...' pula dinyanyikan oleh penduduk Madinah yang telah berhari-hari menunggu kedatangan Rasulullah. Bukan dialunkan oleh Rasulullah dan Abu Bakar.

Malam Tujuh Likur

Ini pula yang terjadi pada 7 malam terakhir dalam bulan Ramadhan. Sibuk memasang pelita kerana kononnya ada malaikat yang akan turun membawa rahmat. Malaikat tersebut pula dikatakan tak nampak jalan jika tak dipasangkan pelita sepanjang jalan ke rumah. Bukankah Rasulullah menajarkan kita agar melipatgandakan ibadah dengan beriktikaf di masjid? Maka ini juga sesuatu tindakkan yang tidak ada asal usul.

Marah?

Begitu juga perasaan orang Kristian tatkala kita menghina sesuatu yang mereka anggap suci. Mereka sangat marah jika kita mengatakan bahawa Krismas adalah suatu perayaan yang tidak ada asal usul! Sebenarnya mereka ada alasan yang tersendiri sebagaimana kita meraikan aidilfitri dengan ketupat dan lemang. Meraikan Maal Hijrah dengan berarak. Menyambut Maulidurrasul serta banyak sambutan yang lain. Maka Abu Dzar mohon pertimbangan akal waras setiap orang Islam agar tidak menghina sembahan orang bukan Islam.

Bukalah al-Quran, baca dan tadaburlah ayat 108 dari surah al-An'am yang Abu Dzar berikan tadi. Kita akan dapati bahawa Allah menjadikan secara fitrah yang mereka merasakan baik tindakan yang mereka lakukan. Lihat pada pertengahan ayat;

kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka

Maka janganlah kita menghina perkara yang mereka anggap baik. Jika tidak, mereka akan menghina Allah dengan melampaui batas dengan tanpa pengetahuan mereka.

Platform Yang Tidak Tepat

Jika kita berniat untuk  menyedarkan orang Kristian akan kepincangan dalam agama mereka itu, mencela sambutan Krismas bukan platformnya. Niat yang kita miliki tidak pernah menghalalkan cara untuk berdakwah. Janganlah kita terperangkap dalam perangkap syaitan. Ibnu Jauzy menulis buku Talbis Iblis membicarakan tentang perangkap syaitan dengan menjerat manusia mengandalkan suatu kebaikan dan melupakan kebaikan yang lain.

Platform yang baik adalah seperti yang dilakukan oleh Ahmad Deedat. Berbicara tentang agama Kristian bersama seorang Pastor. Hadirin yang datang masti sudah menyiapkan minda mereka untuk perbandingan agama. Maka mereka (orang kristian yang hadir) siap memberikan Jesus untuk dikritik secara intelektual. Bukan dengan emosi.

Inilah kuncinya. Mengkritik secara intelektual.

Jesus dan Nabi Isa as

Abu Dzar suka mengajar pembaca membuka lembaran sirah tatkala orang Islam berhijrah ke Habsyah. Seorang pemimpin Quraish datang kepada Raja Najashi dan meminta agar kelompok Muslim yang datang tersebut diserahkan kepada mereka untuk dibawa pulang ke Mekkah. Amru al-As mengatakan Nabi Isa dengan sesuatu yang tidak baik dalam kepercayaan Islam. Namun perhatikanlah apa jawapan Ja'afar bin Abu Talib terhadap tuduhan ini.

Nabi Isa adalah “hamba Allah, utusan Allah, suci dari Allah serta kalimah-Nya yang diturunkan kepada Maryam yang merupakan seorang perawan (gadis) yang tekun bersembah sujud (kepada-Nya)”

Nah sekarang jelas, memetik kata-kata Raja Najashi usai mendengar hujah yang disampaikan oleh Ja'afar. Islam dan Kristian sebenarnya datang dari sumber yang sama.

Sekarang Abu Dzar serahkan kepada celik akal yang anda miliki untuk menilai dengan matang. Penganut agama Kristian ini sebenarnya golongan untuk didakwahi dengan kasih sayang bukan golongan yang perlu diperangi dengan kritikan dan prejudis.

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

bebas diulang cetak. Powered by Blogger.

About This Blog

blog ini adalah hasil cetusan pendapat dan titipan ikhlas seorang insan kerdil di celah umat

sebarang pertanyaan boleh di emailkan ke ismiabudzar[at]gmail[dot]com

Flag Counter

free counters

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP