QR Code blog ini

QR Code

Sinergi

Photobucket

Membuat Azam Tahun Baru

>> Tuesday, December 07, 2010

Setiap kali melangkah ke tahun baru, pasti ramai yang meletakkan azam pada tahun tersebut. Tak kurang juga yang akan bertanya kepada kawan-kawan mereka apa azam tahun baru kali ini. Abu Dzar secara peribadi mempunyai azam yang tertentu pada setiap tahun. Kali ini Abu Dzar ingin berkongsi sedikit berkenaan dengan tips membuat azam tahun baru yang lebih berkesan.

Sebelum pergi lebih jauh, Abu Dzar rasa masih belum terlambat untuk mengucapkan “Salam Maal Hijrah” buat pembaca blog MeNtaDakaKiDaL ini. =]


Kenapa Perlu Berazam??

Abu Dzar rasa baik kita mulakan dengan mencari faaktor yang kukuh yang menjadi dasar alasan kita berazam. Sekarang saya ajukan pertanyaan kepada anda, kenapa kita perlu berazam setiap kali muncul tahun baru? Adakah sekadar mengikut tradisi masyarakat? Atau mungkin kerana ada guru Bahasa Melayu di sekolah meminta anda untuk buat karangan yang bertajuk “Azam Saya”? Saya serahkan kepada anda untuk meluangkan sedikit masa untuk berfikir akan alasan ini.

Mampu Dicapai

Perkara pertama yang ingin diketengahkan adalah “azam haruslah mampu dicapai”. Rasanya tidak sukar untuk memahami pernyataan tersebut. Dalam melakar sebuah azam tahun baru, berazamlah dengan sesuatu yang anda mampu berusaha untuk mendapatkannya. Jangan meletakkan harapan kepada perkara yang mustahil untuk diusahakan. Natijahnya nanti, azam hanya akan tinggal azam. Jika anda seorang pelajar jurusan undang-undang, janganlah berazam untuk menjadi doktor perubatan. Ukurlah baju di badan sendiri.

Adapun kata “letakkan impian di bintang, jika tak mampu mencapainya, setidak-tidaknya anda mempu menggapai bulan” bukanlah sesuatu yang tidak benar. Cuma saja anda yang perlu pandai menentukan sikap dan keutamaan. Jika anda mempunyai 5 azam tahun baru, janganlah letakkan 3 atau 4 azam yang sangat luar biasa. Saya cadangkan hanya 1 sahaja dalam setahun. Contoh

  1. Dapatkan lesen kereta
  2. Menabung RM 300 setiap bulan
  3. Belajar menggunakan Adobe Photoshop
  4. Tunaikan umrah bersama isteri
  5. Membela beruang kutub di rumah
     
Rasanya sudah terang lagi bersuluh, mana yang mampu dicapai, mana yang mengarut. Sekali lagi Abu Dzar ingatkan, ukurlah baju di badan sendiri.

Khusus

Azam anda juga perlu khusus, jangan biarkan ia tergantung tanpa tali terawang-awang tanpa hujung pangkal. Kita ambil contoh tadi. Azam untuk mendapatkan lesen misalnya. Jangan hanya sekadar berazam untuk mendapatkan lesen kereta. Sepatutnya sertakan sekali tarikh akhir anda sepatutnya mendapatkan lesen tersebut. Mari kita tambah sedikit, “dapatkan lesen kereta sebelum bulan April”. Contoh lain, “belajar Adobe Photoshop sekurang kurangnya 2 jam sehari”.

Dengan cara ini, anda akan tahu “due date” dan berusaha keras untuk mendapatkannya. Setiap langkah yang anda lakukan lebih terarah dan ditata dengan baik. Barulah anda berupaya mencapai azam setiap tahun dan fenomena “carry forward azam tahun lepas” tidak berlaku lagi.

Bermanfaat Buat Umat

Perkara ini tidak kurang pentingnya bagi seorang yang hidup bersama masyarakat. Mulai sekarang, berhentilah dari hanya memikirkan periuk nasi sendiri. Sedarlah bahawa kita adalah salah seorang yang Allah berikan nyawa untuk memakmurkan bumi ini. Pastikan buah dari azam anda dapat dimanfaatkan oleh umat. Paling tidak, ia bermanfaat buat jiran tetangga atau keluarga anda. Rasulullah berkata;

”Orang yang paling dicintai Allah Ta’ala adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain. Amal yang paling dicintai Allah ”Azza wa Jalla adalah memasukkan kegembiraan ke dalam hati seorang muslim, menghilangkan kesulitannya, melunasi hutangnya, atau mengusir rasa laparnya.”

(HR. Thabrani)

Berhentilah dari berazam memiliki kereta yang mahal tapi tidak dapat dimanfaatkan buat umat. Berhentilah dari berazam untuk menyimpan ribuan ringgit dalam bank namun tidak dapat se-sen pun diinfakkan kepada umat. Mulai sekarang mari kita berazam untuk dapat member sebanyak-banyaknya kebaikan kepada umat ini.

Catatkan Azam Anda

Kalau yang ini, Abu Dzar rasa lebih baik kita tonton video ini. Lebih jelas dan menarik hurainya.



Saya sudahi post kali ini sengan sepotong ayat Allah

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya

(Ali Imran 159)

Read more...

Tips Menyenangkan Hati Ibubapa

>> Saturday, December 04, 2010

Cuti sem sudah bermula, jadi bagaimana dengan aktiviti sepanjang hari-hari yang telah berlalu? Mudah-mudahan banyak perkara-perkara yang bermanfaat anda telah jalankan. Pada kesempatan ini Abu Dzar ingin membicarakan sedikit tentang “Menyenangkan Hati Ibubapa”. Atau tajuk yang agak stereotaip adalah “birru walidain”. Jika dilihat dari segi linguistik, terjemahan tersebut tidak tepat. Sepatutnya jika perkataan birru walidain diterjemahkan kepada bahasa Melayu, ia akan memberi maksud berbakti kepada ibubapa. Namun begitu Abu Dzar sengaja keluar dari atmosfera linguistik bagi membuka lembaran baru yang lebih praktikal kepada pembaca MeNtaDaKakiDaL.

Sebelum kita terjun kepada tips dan perkara yang boleh dilakukan, mari kita lihat sedikit sorotan dalil Quran dan hadith yang menyuruh kita menyenangkan hati ibubapa.

Allah berfirman di dalam surat Al-Isra’ ayat 23-24.

“Dan Rabbmu telah memerintahkan kepada manusia janganlah ia beribadah melainkan hanya kepada-Nya dan hendaklah berbuat baik kepada kedua orang tua dengan sebaik-baiknya. Dan jika salah satu dari kedua atau kedua-dua telah berusia lanjut disisimu maka janganlah katakan kepada kedua ‘ah’ dan janganlah kamu membentak keduanya” [Al-Isra : 23]

“Dan katakanlah kepada kedua perkataan yang mulia dan rendahkanlah dirimu terhadap kedua dengan penuh kasih sayang. Dan katakanlah, “Wahai Rabb-ku sayangilah kedua sebagaimana kedua menyayangiku di waktu kecil” [Al-Isra : 24]

Rasulullah SAW meletakkan birru walidain ini sebagai amalan kedua terbaik setelah solat tepat pada waktunya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW,

"Diriwayatkan dari 'Abdullah ibnu Mas'ud ra, dia berkata, "Aku bertanya kepada Nabi SAW, "Apa amalan yang paling disukai oleh Allah SWT?" Beliau menjawab, "Solat tepat pada waktunya." Aku bertanya lagi, "Kemudian apa?" Beliau SAW menjawab, "Birru walidain." Kemudian aku bertanya lagi, "Seterusnya apa?" Beliau menjawab, "Jihad fi sabililah." [HR. Muttafaqun 'alaihi]

Cukupla tu, sekarang mari kita lihat perkara yang boleh dilakukan bagi menyenangkan hati ibubapa masing-masing.

Solat Pada Awal Waktu

Mungkin solat pada awal waktu sudah menjadi kebiasaan bagi ikhwah-ikhwah yang telah ditarbiyah dengan baik. Namun, di sebalik kebiasaan yang antum lakulan sebenarnya tersemat rasa gembira yang tidak terhingga bagi ibu dan bapa tatkala melihat anaknya konsisten melaksakan ibadah fardhu tersebut 5 kali sehari semalam. Bagi yang masih lagi terlepas untuk melakukan solat fardhu pada awal waktu, sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk memulakan tabiat baru. Dengar sahaja azan atau tahu saja dah masuk waktu solat, dengan pantas bergegas untuk menunaikan solat.


Untuk mendapatkan impak yang lebih menarik, anak lelaki adalah dicadangkan untuk menunaikan solat fardhu di masjid atau surau. Bawa adik-adik bersama-sama untuk menunaikan solat berjemaah. Bagi perempuan aka akhwat, solat sahaja di rumah itu lebih baik. Satu idea lain adalah anda membaca quran sebelum masuk waktu solat dan bagi tazkirah setelah selesai menunaikan solat.

Bantu Ibu Mengemas Rumah

Secara umumnya memasak dan mengemas rumah adalah tugas yang perlu dilakukan oleh seorang yang bergelar ibu. Oleh yang demikian, adalah sangat baik jika anda dapat membantu meringankan tugas ibu tersebut. Jangan beri alas an anda anak lelaki anda tidak boleh membantu. Sebenarnya anak lelaki jauh lebih perlu membantu memandangkan anak lelaki mempunyai sedikit lebihan tenaga untuk mengangkat meja, membersihkan kipas atau mengalihkan pasu bunga.

Kalau anak perempuan, tidak perlu la Abu Dzar nyatakan lagi keperluan anda membantu ibu mengemas rumah. Jadikan aktiviti menyapu rumah sebagai mutabaah harian. Setiap pagi setelah selesai sarapan atau menjemur kain, sapulah rumah anda atau bagi yang biasa guna vacuum cleaner, vacuum lah rumah agar tugas harian ibu dapat diringankan.

Bagi yang pandai menggubah bunga, luangkan sedikit masa untuk menggubah bunga di rumah agar rumah anda nampak lebih berseri apabila anda pulang. Bagi yang pandai menjahit, buat sarung bantal baru atau cari idea untuk memberikan nilai tambah kepada sarung bantal yang sedia ada. Contohnya sarung bantal tu anda tambah reben supaya nampak lebih menarik.

Memasak Bersama Ibu

Jika mengemas rumah anda boleh lakukan sendirian tanpa bantuan atau pertolongan ibu, memasak ni agak lain sikit menurut perkiraan Abu Dzar. Anda perlu memasak bersama ibu. Sebabnya adalah ibu lebih tahu apa yang ayah, adik abang dan kakak anda suka makan. Faktor lain adalah anda dapat belajar terus dari ibu cara memasak yang mungkin hanya teori dalam buku resepi. Tambahan pula, anda boleh bersembang dengan ibu sambil memotong bawang atau siang ikan.

Bagi anak lelaki, membantu ibu memasak bukanlah sasuatu yang perlu dimalukan. Tetapi ini adalah peluang bagi anda untuk membuktikan bahawa anda memang sudah boleh berdikari dan tahu serba sedikit tentang barang dapur. Sebagai contoh, apabila ibu meminta anda mengambil terung dari dalam peti ais, ambil dan mulakan perbualan, “wah, besarnya terung mama beli ni. Kalau kat KK terung macam ni mahal sikit, kat Tamu Tuaran la yang murah nak beli sayur-sayur macam ni. Berapa ringgit mama beli ni?”

Tapi kalau tak kenal terung yang mana satu, jangan segan tanya “Ma, terung tu yang ni ke?" (sambil angkat lobak) keh keh keh. Jangan pandai pandai pulak cover malu cakap “owh, kalau kat Sabah benda ni la orang panggil terung!”

Basuh Kereta

Bagi yang tak tahu, upah cuci kereta tempat yang tulis “Snow Car Wash” tu bermula dari RM 8 hingga RM 12. Kita ambil nilai yang mudah kira, RM 10. Jika sekiranya ayah hantar seminggi sekali, dalam sebulan ayah akan hantar kereta tersebut 4 kali. Total bulanan untuk mencucu kereta sudah RM 40. Kalau sepanjang tahun sudah mencecah RM 480. Jadi Abu Dzar rasa adalah sangat wajar selaku anak pergi mencemar duli membasuh kereta seminggu sekali. Kalau selalu sangat nanti bil air pulak yang naik. Dan jika memungkinkan, tolong vacuum dalam kereta dan beli pewangi ye! Baru la seronok nak ajak family berkelah.

Berkelah

Cakap pasal berkelah, tiba-tiba terlintas pulak idea untuk menyenangkan hati ibubapa dengan ajak mereka berkelah. Rasanya tak ada alas an tak tau nak berkelah kat mana kot. Malaysia ni terlalu banyak sangat tempat untuk berkelah dan bersantai bersama keluarga. Kalau dah tak tau sangat nak berkelah kat mana, bentangkan tikar di depan rumah (porch kereta), siapkan nasi dan lauk serta air laici yang sejuk. Berkelah lah di hadapan rumah. Macam idea gila tapi Abu Dzar pernah buat beberapa kali bersama dengan mak dan adik-adik. Seronok!


Makan Menambah

Abu Dzar yakin dan percaya mesti yang hairan dan tak kurang juga yang tersenyum dengan tips ini. Kalau makan masakan mak, menambah lah 2 kali. Sebab mak memang memasak untuk anaknya yang balik jarang-jarang sekali. Mak akan cuba memasak semua jenis makanan kegemaran dalam kuantiti yang agak banyak kerana memikirkan anaknya yang dah lama tak makan telur ikan (contoh je ni). Jadi apalah salahnya anda makan lebih sedikit dari biasa untuk menyenangkan hati mak. Kalau biasa makan sepinggan je, makanlah 2 pinggan bila balik ke rumah. Mesti mak sangat gembira melihat anaknya makan dengan berselera hasil masakan mak. Kalau takut gemuk pagi esoknya lepas subuh jangan la tidur, pegi jogging. Petang main badminton dengan adik-adik. Malam boleh makan banyak hehe

Hmm...rasanya tu la dulu buat masa ini. Kalau suka baca blog lama-lama depan laptop, PC ataupun melayan FB ni sebenarnya parent tak berapa berkenan, “komputer tu kat asrama angah pun boleh tengok, meh la sini teman mak buang kepala ikan bilis ni, esok nak masak nasi lemak”.


Semoga kepulangan anda dapat menyenangkan hati ibubapa!

Read more...

Halaqoh

>> Wednesday, December 01, 2010

Saya masih ingat lagi suatu malam ketika saya belajar di Kolej Matrikulasi Perak, ada orang datang ke bilik kawan saya, kebetulan saya ada dalam bilik tersebut.

“Assalamualaikum, dalam bilik ni ada orang nama Hanif tak?” dia menyoal
“Ada kejap eh”, Juan berpaling seraya berkata “Nep, tu ada orang cari”. Kami menyambung kerja sambiil membiarkan Hanif dengan “kawan” barunya tersebut.

Entah berapa lama mereka bersembang dan kawannya minta diri nak balik. Dia bersalam dengan kami dan keluar dari bilik. “Abang tu dari UTP, tapi macam mana dia tahu bilik ni ek?” Hanif mula bercerita setelah kelibat “kawannya” tadi tidak lagi kelihatan.

Mula diajak ke halaqoh

Seminggu kemudian, abang dari UTP tersebut datang lagi. Kali ini dia tidak sendirian,dia bersama dengan seorang lagi, juga pelajar UTP. Lebih mengujakan, kami juga turut diajak bersembang bersama. Baru la saya tahu nama abang tersebut adalah Fairul. Kawannya bernama Omar. Kami pun bersembang dan kemudian sesi sembang-menyembang entah macam mana bertukar jadi sesi tazkirah. (Saya kurang ingat apa yang jadi turning-point kepada sesi tazkirah, maklum la ni cerita tahun 2005). Pada ketika itu saya merasakan bahawa Abang Fairul ni mungkin hafiz quran kot sebab dalam tazkirah tu dia banyak bagi ayat quran dan meminta kami baca terjemahannya.

Jom Halaqoh!

Istiqamah

Saya kurang ingat berapa kali Abang Fairul ni datang ke bilik Hanif sehinggalah pada suatu malam, dia cakap, “insyaAllah, lepas ni kita akan buat pertemuan macam ni secara rutin, kita akan mengaji, dengar tazkirah, dengar hadith bla bla bla..." (semua agenda halaqah mamat ni sebut). “Jadi ana minta komitmen semua untuk datang setiap minggu”. “Pertemuan ini ikhwah biasa panggil halaqoh atau kalau antum biasa dengar di sekolah dulu orang panggil usrah”.

Err..kat sekolah dulu saya tak pernah pun tau apa kejadahnya usrah tu, ni tiba-tiba kata biasa dengar. Tak pe, yang penting saya boleh belajar mengaji quran. Maklum la sejak masuk asrama semasa tingkatan satu, saya tak pernah belajar mengaji quran dah. Baca sendiri-sendiri tu adala tapi sekadar mengisi masa, atau bila rasa dah tak de kerja sangat nak buat. Tawaran abang ni nak mengajar quran merupakan satu peluang yang tak boleh dilepaskan. Walaupun pada peringkat awal saya konsisten datang halaqoh sebab muka Abang Fairul tu macam garang je (walaupun dia suka buat lawak). Saya tak nak kena marah sebab tak datang, takut tu. Itu adalah faktor saya konsisten datang halaqah pada peringkat awal.

Halaqoh

Pengalaman pertama berhalaqoh sangat tidak boleh saya lupakan. Pada malam tu saya ditugaskan sebagai sebagai MC halaqoh. Murobbi menerangkan serba ringkas perjalanan halaqoh kepada semua dan saya pun memulakan tugas sebagai MC halaqoh (yang ceroi) pada malam itu. Bermula dengan tilawah quran. Uiks...kantol. Saya tak dapat mengaji macam kawan-kawan yang lain. Prestasi sangat teruk pada malam tersebut. Malu tahap gaban! Tapi murobbi saya buat muka selambe je. Sebab tu saya suka mengaji dalam halaqoh Fairul. Fairul betulkan mana-mana yang saya salah baca. Kawan-kawan lain tak de masalah untuk membaca quran. Saya cemburu! Tapi memandangkan cara Fairul ajar mengaji tu best (walaupun muka garang), saya bersemangat untuk terus belajar mengaji quran.

Mungkin bagi yang sudah biasa berhalaqoh atau berusrah sewaktu dari sekolah (guna balik ayat Fairul), tugasan setiap minggu untuk mencari hadith, sirah atau berita tentang dunia Islam bukanlah sesuatu yang asing (kot). Malah mungkin ada yang beranggapan tugasan yang diminta murobbi adalah sesuatu yang membosankan. Tapi bagi saya yang baru belajar sebut perkataan “halaqoh” sepanjang hidup, tugasan setiap minggu sangatlah menarik dan saya tak sabar-sabar untuk menunggu halaqoh yang berikutnya. Perkara yang paling saya suka dalam halaqoh adalah sesi musykilah. Atau bahasa mudah adalah soal-jawab.

Maklum lah, selaku pelajar yang lambat tersedar akan kepentingan pendidikan Islam, tentu saja banyak persoalan dan tanda tanya yang muncul dalam hidup. Tatkala orang lain sibuk ke sekolah agama usai waktu persekolahan. Saya hanya melepak di rumah. Bila dah besar, baru la terkontang-kanting mencari dalil dan buku untuk menambah ilmu. Maka sesi musykilah dalam halaqoh sangat ditunggu-tunggu. Tapi kalau nak tau, saya jarang mengajukan soalan atau musykilah kepada murobbi. Tapi saya mendengar soalan dan jawapan yang dibincangkan. Hehe nak tanya segan!

Ukhwah

Setelah saya mengikuti halaqoh, saya mula ada ramai kawan. Kalau sebelum ni kawan saya hanyalah pelajar LP3 TP22, kawan sekolah lama, room-mate dan Najib (orang yang bertanggungjawab memperkenalkan saya dengan Juan yang merupakan room-mate Hanif --> targeted person untuk dihalaqohkan oleh ikhwah UTP).
Tapi kawan baru saya ni semua pandai cakap arab. Selalu sangat guna ana-anta bila bercakap. Sama macam abang Fairul yang datang menghalaqohkan kami tiap-tiap minggu dari UTP tu. Lebih menghairankan saya pada ketika tu kawan-kawan saya guna label ikhwah. Kalau berkenalan dengan ikhwah mesti bersalam sentuh pipi sebijik macam orang Arab. Mula-mula segan tapi bila dah lama, belasah je sebab macam best pulak salam macam tu.

Saya mula kenal student sains hayat yang kononnya sangat fragile study maut untuk amik course medicine, student ex-sekolah teknik yang susah ditentukan sikap dan perangai sebenar, student ex-sekolah agama yang berilmu tinggi tapi masih sudi berkawan dengan orang macam saya yang tah pape ni dan tak lupa juga abang-abang UTP yang register sebagai student engineering tapi tak segan untuk makan setalam dan tidur sebantal dengan kami.

Satu perkara yang membuatkan saya sangat bersyukur kepada Allah adalah saya diberi kesempatan untuk berkenalan dengan seorang ikhwah dari UTP. Pertemuan pertama semasa saya menghadiri rehlah a.k.a berkelah yang dianjurkan oleh ikhwah UTP (ini adalah program pertama saya datang). Saya masih ingat semasa main bola tangan, ikhwah tersebut jadi referee, saya penjaga gol. Oleh sebab asyik bolos je, incek referee datang bagi nasihat, “lain kali pegang je bola tu, jangan undur ke belakang k!”. Saya menganggukkan kepala tanda faham.

Akh Amzar

Pertemuan kedua semasa daurah yang juga anjuran ikhwah UTP. Ikhwah tersebut mengisi satu slot pada waktu malam selepas solat isyak. Tapi saya tak ingat tajuk apa pengisian malam tu. Tapi yang bestnya adalah selepas tamat pengisian ada sesi ta’ruf. Kami dipecahkan kepada kumpulan kecil untuk ta’ruf. Entah macam mana tetiba pulak ikhwah yang mengisi tadi masuk menyibuk dalam kumpulan saya. Masa tu la baru saya kenal betul nama ikhwah tersebut. Amzar Hafifi Abd Gofur, civil engineering.

Untuk pengetahuan, saya sangat seronok berukhwah dengan ikhwah-ikhwah. Sebab tu saya masih datang halaqoh sampai sekarang. Dan saya sangat berharap agar dapat terus tsabat dan istiqamah berhalaqoh.

Doakan saya ye!

Read more...

Kempen Meningkatkan Mutabaah

>> Thursday, November 25, 2010

Cuti sem bagi pelajar IPT kembali lagi, kalau sem lalu kempen cuti sem adalah tak nak tidur ba’da subuh. Kali ini Abu Dzar mengadakan kempen meningkatkan mutabaah ibadah semasa cuti. Secara logiknya kalau semasa berada di kampus anda boleh menjaga mutabaah dengan baik dengan sibuk menjalani kuliah, tutorial, ziarah, ta’lim dan halaqah, kenapa tidak waktu cuti ini kita cuba untuk melipatgandakan mutabaah ibadah masing-masing. Anda tidak perlu memikirkan kuliah atau berbaris menunggu bas dari awal pagi atau ziarah bilik anak halaqoh usai solat isyak. Jadi untuk menggandakan mutabaah bukanlah satu perkara yang sukar. Secara teorinya, segala kesibukan sebagai pelajar tidak lagi digalas buat sementara waktu. Maka Abu Dzar mencadangkan agar kita beramal soleh sebagai tanda kita adalah makhluk ciptaan Allah.


Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku (51:56)

Sekarang mari kita lihat sedikit aktiviti waktu cuti yang boleh dilakukan oleh seorang daei.

Pagi


4.00- solat tahajud + mengaji Quran 2 muka surat
5.00- solat Subuh + baca ma’thurat + mengaji Quran 4 muka surat
9.00- duha + mengaji Quran 2 muka surat + baca buku
11.00- online, baca blog MeNtaDakaKiDaL
11.30- qailullah


Tengahari


12.00- solat Zohor + mengaji Quran 4 muka surat


Petang


4.30- solat Asar +baca ma’thurat + mengaji Quran 4 muka surat
6.00- Solat Maghrib + tazkirah bersama adik-adik


Malam


7.30- solat Isyak + mengaji Quran 4 muka surat
11.00- tidur dan bangun untuk tahajud pagi nanti pulak

Itu adalah cadangan secara kasar dari Abu Dzar untuk menambah banyakkan lagi kuantiti mutabaah ibadah. Adapun jika anda ingin menghafal hadith ataupun Quran, perkara tersebut bolehlah dibuat pada mana-mana masa kosong yang anda sendiri peruntukkan. Abu Dzar hanya menyentuh 6 ibadah yang biasa ditanya oleh murobbi atau murobbiah. Adapun bagi istigfar, ibadah tersebut hendaklah dilakukan pada setiap kali selesai solat dan pastikan ia dilakukan secara konsisten. Jika menurut cadangan jadual di atas, maka cukuplah bilangan mutabaah dalam satu hari.

Maka anda akan mencapai target 1 juzuk bacaan Quran, membaca ma’thurat pada waktu pagi dan juga petang, istigfar 70 atau 100 kali dalam sehari, juga solat subuh berjemaah, solat tahajud serta solat duha.

Langkah Bermula

Membaca blog ini adalah langkah pertama untuk meningkatkan mutabaah ibadah anda. Seterusnya anda perlu mempunyai perancangan yang rapi, jelas dan membumi untuk meningkatkan kuantiti mutabaah. Perancangan yang Abu Dzar maksudkan merangkumi perkara seperti masa dan strategi untuk melaksanakan satu-satu. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin melakukan solat tahajud. Anda perlu mempunyai sebuah jam loceng atau paling tidak hand-phone yang ada aplikasi alarm clock. Kunci jam untuk bangun, siapkan sejadah, kopiah dan kain di hujung katil. Perkara terakhir dalam fasa strategi untuk bangun tahajud adalah tidur dengan niat ingin bangun tahajud.


Setelah perancangan untuk melaksanakan ibadah tersebut telah selesai diatur, anda akan tiba kepada fasa melakukan ibadah. Dalam fasa ini, anda perlu malakukan ibadah tersebut seperti yang dirancang dan suka untu Abu Dzar ingatkan agar mengerjakan ibadah tersebut dengan ikhlas untuk mencari redha Allah. Sekiranya anda merancang untuk melakukan solat duha pada jam 9.30am, pastikan pada waktu tersebut anda tidak teronline hingga jam 10 am pula. Pastikan anda berdisiplin dengan perancangan yang telah dibuat.
Seterusnya anda perlu membuat refleksi untuk setiap ibadah yang telah dilakukan. Sebagai contoh, sebelum anda tidur, muhasabah sekejap sejauh mana kejayaan anda meningkatkan mutabaah. Kalau tak pandai nak muahsabah sendiri-sendiri, rajin-rajinlah contact murobbi atau mana-mana ikhwah yang anda rapat.

Borang Mutabaah Cuti Sem

Untuk memudahkan anda membuat sesi refleksi, download borang mutabaah cuti sem ini dan isi setiap kali sebelum anda tidur. Cara mengisi senang sahaja, bagi yang memang ikut halaqoh tak perlu la Abu Dzar ajar lagi. Tapi bagi yang tak biasa lagi dengan borang mutabaah seperti ini, meh sini Abu Dzar terangkan. Senang sahaja, isikan nombor “1” bagi setiap ibadah yang anda berjaya lakukan. Tapi kalau terlepas, letak nombor “0”. Setelah tamat 7 hari, anda akan lihat jumlah ibadah yang telah berjaya dilakukan berdasarkan kod warna merah, biru dan hijau

Kod Warna

Merah – Masih perlu usaha yang lebih kuat untuk meningkatkan ibadah
Biru – Berjaya mencapai target yang telah ditetapkan
Hijau – Alhamdulilah, mudah-mudahan istiqamah

Borang mutabaah tersebut boleh diisi mengikut tarikh yang telah disediakan. Bermula pada 29 November 2010 hingga 2 Januari 2011. Tarikh cuti adalah mengikut takwim akademik UMS. Bagi yang sudah bermula cuti lebuh awal, bolehlah mengubah borang tersebut mengikut cita rasa sendiri. Hak cipta tidak terpelihara. Malah boleh disebarkan kepada sesiapa juga makhluk yang ingin meningkatkan mutabaah ibadah mereka.

Mutabaah Cuti Sem

Read more...

Istimewa Buat Pelajar Cikgu Hafizul

>> Sunday, November 14, 2010

Selamat menduduki SPM.

belajar bagus-bagus, buat banyak latihan, baca buku, kurangkan main, kurangkan tidur, kurangkan ber"sms" yang inda ketentuan.

Mungkin cikgu inda dapat datang pi sekolah masa kamu SPM nanti.

baca surat untuk kamu di thumblr cikgu ni. Tapi maaf surat tu la dalam bahasa Inggeris, cari kamus ya!

Read more...

mari wish good luck

>> Thursday, November 04, 2010

Tahadu, Tahabu

Rasulullah saw menganjurkan agar memberi hadiah untuk menimbulkan rasa cinta. Maka saya rasa dekat-dekat dengan minggu exam ni, sangat baik untuk kita saling memberi hadiah. Bukan sahaja dapat memupuk rasa cinta, bahkan dapat melegakan sedikit tekanan menghadapi peperiksaan.

Maka saya ada membuat sedikit kad ucapan selamat untuk keguaan ikhwah dan akhwat. Print dan berikanlah kepada ikhwah sehalaqoh, ikhwah yang dalam ipt sama atau boleh juga untuk mutarobbi yang ikut halaqoh dengan anta

ini kad untuk ikhwah

goodluck_ikhwah

yang ini pula untuk akhwat

Asif jiddan, tak dapat embed kad untuk akhwat kat sini, tetiba scribd.com buat hal...jadi guna 4shared je la

Perkara yang perlu anda lalukan adalah;
  1. muat turun kad tersebut
  2. cetak kad tersebut
  3. lipat kertas sebanyak 2 lipatan supaya nampak macam kad
  4. tulis nama penerima + nama anda diruang yang disediakan
  5. letak dalam sampul (kalau berminat)
  6. berikan kepada ikhwah/akhwat yang terpilih tersebut
Kalau nak lebih menarik, bagi la kad ni dengan sebiji buah epal atau sebatang pen sebagai hadiah!
itu sahaja untuk kali ini!

Selamat menjawab exam semua pembaca blog MeNtaDaKakiDaL 

bagi yang nak soft-copy kad dalam format .pub (publisher), boleh hantar request ke ismiabudzar[at]gmail[dot]com

Read more...

Pelajar Ex-MRSM Mersing :Status terkini anda diperlukan segera !!

>> Monday, November 01, 2010

post ini adalah ihsan blog MRSM Mersing
PERKARA : 
'TRACER STUDY' BEKAS PELAJAR MRSM
ARAHAN : 
BAHAGIAN PELAJARAN MENENGAH MARA
TUJUAN : 
SISTEM PENGESANAN PELAJAR UNTUK KEMUDAHAN PENYALURAN PELBAGAI MAKLUMAT PADA MASA DEPAN

Semua bekas pelajar MRSM Mersing diminta menghantar maklumat terkini anda iaitu :

1. Nama 
2. Tahun tamat di MRSM
3. Bidang pengajian /Institusi
4. Jawatan sekarang
5. Nama majikan /syarikat
6. Alamat email

Diharapkan saudara-saudari dapat menghantar maklumat-maklumat di atas secara email kepada Cikgu Liza (Kaunselor MRSM Mersing ) iaitu :

su_setapa @yahoo.com
Surat arahan dari BPL(M)
 Tujuan pengumpulan maklumat
 Contoh maklumat yang diperlukan



2 comments:

Abu Dzar Al-Ghifari said...
salam...tanya sikit, kalau belum habis study lagi tak payah la nak menyibuk hantar maklumat kan? saya belum habis belaja lagi!
Penunggu Hujung Dunia (PhD) said...
Salam.. Terima kasih bertanya. Pengumpulan maklumat ini untuk semua ex-student sama ada belajar, bekerja, tak belajar atau yang telah berkahwin. harap saudara boleh forwardkan kepada rakan2 di mana jua mereka berada

Read more...

Ujian Allah

>> Tuesday, October 26, 2010

Seorang Islam yang mengaku beriman pasti akan diuji Allah dengan pelbagai jenis ujian dan dan dugaan. Hal ini telahpun Allah khabarkan buat semua melalui surah al-Baqarah dalam ayat ke 214  “Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.”

Sakit adalah ujian dari Allah

Jelaslah di sini bahawa ujian Allah itu pasti bagi setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah. Cuma sahaja ujian Allah itu berbeza bagi setiap individu. Ada orang yang Allah uji dengan harta yang banyak, ada orang yang diuji oleh Allah dengan anak yang nakal, ada juga yang diuji dengan ibubapa yang jauh dari Allah, tidak lupa juga bagi pelajar, Allah uji dengan pencapaian akademik. Ada yang Allah beri kecemerlangan yang luar biasa, untuk menguji samada mereka bersyukur. Ujian Allah juga boleh berupa pencapaian akademik yang tidak cemerlang, bagi memastikan samada hamba-Nya mampu bersabar atau tidak. Maka beruntunglah bagi yang bersyukur dan rugilah bagi yang kufur . Hal ini selari dengan firman Allah dalam surah Ibrahim ayat yang ke-7 ” Dan, tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".”

Selaku seorang Muslim yang mengaku beriman kepada Allah, kita harus sedar bahawa Allah sentiasa menguji iman kita baik dengan ujian keburukan seperti terlibat dalam kemalangan ataupun diuji dengan kekurangan wang. Allah juga menguji manusia dengan kesenangan seperti dikurniakan isteri yang cantik, kesihatan yang baik atau ujian yang berupa ramainya orang yang menuruti seruan dakwah yang kita lakukan. Kedua-dua jenis kebaikan dan keburukan ini adalah ujian Allah.

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.  Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kami lah kamu dikembalikan.” Al-Anbiya’ : 35

Satu perkara yang sangat pasti adalah Allah akan menguji kita dengan sesuati yang kita sayang. Sebagai contoh seorang yang baru sahaja membeli kereta baru dan dia memandu kereta tersebut ke masjid untuk solat Zohor. Usai melakukan solat, dia meluru ke kereta yang sangat disayangi. Dengan tidak semena-mena matanya terpandang akan sedikit calar di sebelah pintu. Inilah ujian Allah, adakah nanti dia akan datang lagi bersolat di masjid atau mungkin itulah kali terakhir.

Gambar hiasan
 
Namun begitu bagi pelajar unversiti mungkin tidak mempunyai simpanan harta atau kekayaan yang bertimbun-timbun, maka yang paling berharga adalah masa lapang ketika berada di kampus. Maka apa salahnya jika waktu-waktu seperti itu digunakan untuk mendekatkan diri kita kepada Allah. Luangkan sedikit masa untuk menghadiri kuliah Maghrib di Masjid atau surau-surau. Jika diajak untuk menghadiri majlis-majis ta’lim, cubalah sedaya upaya untuk memenuhi undangan tersebut. Luangkan sedikit masa dalam seminggu untuk menghadiri halaqoh atau usrah.

Jadikan halaqah aktiviti mingguan



Adakah anda tahu kenapa anda perlu meluangkan masa untuk semua perkara tersebut? Jawapannya adalah agar rasa cinta akan agama Allah ini tumbuh segar dalam diri. Rasa cinta ini kemudiannya membuahkan sayang akan Islam. Setelah semua perkara ini tumbuh mengakar dalam diri, Allah akan berikan ujian yang sesuai dengan iman masing-masing. Hal ini sesuai dengan dalilnya dalam ayat terakhir surah al-Baqarah yang berbunyi “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”. Maka berbahagialah jika Allah memberikan ujian yang berupa dugaan dalam menyebarkan agama Allah.

Read more...

tag??

>> Thursday, October 07, 2010

hmm....post kali ni adalah respon kepada blog adik saya yang dengan berbesar hati telah menge"tag" nama saya dalam permainan menge"tag" blog.


You've been tagged by Haidhar



1. Name one person who made you laughs last night??
Alfaraby19

2. What were you doing 1 hour ago?
“stido” ( study + tido)

3. What was the last thing u said out loud?
Sorry, I’m a soft-spoken person!


4. Where's the next place you're going to?
Jannah


5. What was the last thing you paid for?
Lunch saya dibayar oleh Sohibus Samahah Hanif Nasaruddin

6. Where were you last night?
halaqoh


7. What is the best ice cream flavor?
durian


8. Do you want to cut your hair?
I wish so


9. Do you love to “melatah”?
I don’t love it but it happens by accident

10. If that so (melatah), what will you said out loud?
Should I put it here?


11. What does the last text-msg received say?
“You have insufficient balance to make this call”


12. Will you get married in the future?
In the future? can I make it as soon as possible?


13. Do u chew on your straw?
I don’t use straw to drink...straight away from the glass


14. Do you make-up your own words?
Necessarily, if it was not me who else


15. Is there anyone you like/love right now?
Next question please!

16.Tag to other 5 bloggers/more
Sorry tak mau dah main tag-tag orang ni, saya nak berentikan contagious virus ni
 

Read more...

Akademik, Pelajar dan Jam Pasir

>> Thursday, September 30, 2010



Majlis Konvokesyen UMS kali ke-12 akan berlansung tidak lama lagi. Ramai kawan-kawan saya yang berada di semenanjung sudah mula menempah tiket untuk datang berkonvo. Maklum lah ini adalah titik puas dan sebagai tanda mereka sudah tamat belajar di peringkat ijazah sarjana muda di universiti setelah bersusah payah melayakkan diri untuk mendapat tempat di IPT. Tiba-tiba kotak fikiran saya bertanya “kenapa orang susah payah mendapatkan degree?”. Sampai ada yang sanggup berhutang dengan PTPTN, pergi jauh meninggalkan keluarga di kampung. Apa yang ada pada sebuah ijazah hingga ramai orang yang bermati-matian berusaha mendapatkannya?

Degree oh degree
Saya ada beberapa orang kawan yang lebih dahulu bergraduat daripada saya. Saya juga kenal beberapa orang senior yang telah pun bergraduat. Malah abang dan adik saya sendiri telah menerima ijazah mereka masing-masing. Sekali lagi saya lontarkan persoalan kenapa ramai orang berusaha untuk mendapatkan segulung ijazah? Jika jawapannya adalah untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, saya rasa jawapan itu kurang bernas. Menurut telahan saya selama ini, hanya pelajar yang mengambil degree dalam bidang perubatan dan farmasi sahaja yang benar-benar dapat bekerja sebagai doktor dan ahli farmasi. Selain dari itu, belum tentu lagi.Bahkan negara ini mempunyai koleksi graduan yang menganggur seramai 60000 orang. Malah beberapa kawan yang saya kenal juga bekerja dalam bidang yang tidak ada kena-mengena dengan ijazah yang diambil semasa belajar di universiti dahulu.




Sejak dari hari mula-mula mendaftarkan diri sebagai mahasiswa universiti, sebenarnya kita perlu mempunyai matlamat yang jelas tentang perancangan dan masa depan kita masing-masing. Mungkin ada segolongan orang mengatakan bahawa mereka ditawarkan dengan kursus yang bukan pilihan mereka. Atau perkataan yang biasa digunakan adalah “dilelong”. Isu “dilelong kursus” ini bukanlah satu polemik baru yang berlaku dalam pendidikan tinggi negara ini. Namun begitu kita harus ingat bahawa kursus yang kita dapat adalah hasil perancangan Allah. Allah telah menetapkan bahawa si fulan bin si fulan perlu mengambil ijazah sarjana muda linguistik (bahasa Urdu) di Universiti Wakaf Che Yeh. Walaupun tidak ada dalam senarai pilihan.

Nasihat saya bagi yang terlibat dengan “kursus lelong”, memang sukar untuk mendapatkan kursus yang anda cintai, akan tetapi cintailah kursus yang peroleh. Bukan pilihan anda. Akan tetapi tidakkah anda sedar bahawa ini adalah pilihan Allah, sesuai dengan kemampuan dan kelayakan yang anda miliki.

Fenomena Jam Pasir
Melihat kepada persaingan pasaran kerja sejak kebelakangan ini, saya berpendapat bahawa belum tentu seorang pemegang ijazah sarjana muda mempunyai tempat dalam firma atau syarikat di Malaysia. Sebagai contoh, pengambilan mahasiswa baru ke UMS bagi sesi pengajian Julai 2010 sahaja mencecah 4000 orang. Namun begitu, tempat kosong yang boleh diisi oleh mahasiswa setelah bergraduat ini nanti seperti tidak ada. Fenomena ini seperti jam pasir. Apabila diterbalikkan, berebut-rebut pasir tersebut untuk turun ke bawah. Namun apabila sudah sampai dibawah, pasir masih juga seperti sediakala. Masih bernama pasir. Lalu kita terbalikkan sekali lagi, perkara yang sama berulang dan terus berulang. Setelah melalui bukaan yang sempit pada jam pasir, yang berubah hanyalah kedudukan. Namun pasir masih lagi pasir.


Begitu lah lebih kurang fenomenya yang berlaku dalam dunia pendidikan kita. Murid-murid bersusah payah belajar untuk berjaya dalam UPSR bagi melayakkan diri ke sekolah yang baik. Kemudian PMR dan SPM. Mereka berebut-rebut untuk akhirnya mandapat tempat di IPT. Namun setelah berjaya mendapatkan degree, jam pasir tersebut diterbalikkan sekali lagi. Sambung Master la pulak.

Read more...

Himpunan SMS Bermanfaat

>> Tuesday, September 28, 2010

Assalamualaikum

khas buat semua pembaca MeNtaDaKkaKiKiDaL, saya telah membuka satu lagi blog baru. Himpunan SMS Bermanfaat. Blog ini mengumpulkan sms yang bermanfaat dan menarik. Sesuai untuk membangkitkan iman, sebagai nasihat atau boleh juga dihantar sebagai sms tahajud. Dengan ini saya menjemput semua untuk bertandang ke Himpunan SMS Bermanfaat. Bagi yang ingin berkongsi sms untuk di post ke blog tersebut bolehlah taip semula sms tersebut dan hantarkan sms anda ke mail-box saya di ismiabudzar[at]gmail[dot]com.


SMS Tahajud
Pelik betul jenis sms yang satu ni. Ingatkan orang je yang solat tahajud, rupa-rupanya sms pun tahajud juga. hahaha...sebenarnya bukan sms tu pegi solat tahajud, tapi sms tahajud adalah sms yang dihantar pada jam 3 atau 4 pagi untuk membangunkan ikhwah bagi menunaikan solat tahajud.

mari kita tengok sikit macam mana sms tahajud tu...

Contoh SMS ukhuwah;

Circle means forever, no beginning and no end.
Let our good friendship be,
not just an endless line
but a circle that goes on & on for a lifetime!

Ini sms tahajud

Circle means forever, no beginning and no end.
Let our good friendship be,
not just an endless line
but a circle that goes on & on for a lifetime!
Selamat Tahajud akhi!

Read more...

Tips Berkomunikasi

>> Thursday, September 23, 2010

    Mata saya menatap skrin jadual perlepasan.. Masih ada lagi satu jam sebelum penerbangan saya ke Kuala Lumpur. Lantas mata mencari kerusi yang kosong untuk saya menanti masa satu jam tersebut. Di suatu sudut lapangan terbang, saya lihat ada sebaris kerusi kosong. Tanpa membuang masa, saya menuju ke kerusi tersebut sambil menolak troli bagasi. Apabila sampai saya dapati kerusi tersebut agak dekat dengan sebuah TV. Sambil menunggu saya menonton siaran yang ditayangkan pada pagi itu. Cerita kanak-kanak. Kalau anda biasa menonton TV3 pada jam 9.00 pagi, pasti anda tahu siaran apa pada waktu tersebut. Bagi yang tak biasa, biar saya maklumkan kepada anda. Pada pagi tersebut, TV3 menyiarkan “Haiwan Teladan”.



    Saya tak berhajat nak kongsi cerita keldai secara keseluruhannya. Cuma saya ingin berkongsi mengungkapkan rasa kagum dan hormat saya kepada kakak pengacara siaran tersebut yang sangat pandai melayan anak-anak yang ada di studio. (Maaf, nama kakak tu tak ingat) Semua sedia maklum, kalau bercerita dengan kanak-kanak mesti banyak soalan-soalan yang keluar dari mulut mereka. Kakak pengacara tersebut memulakan cerita dengan menerangkan kegunaan keldai pada zaman Rasulullah S.A.W.

Keldai ni guna untuk bawak barang pegi berdagang, pegi berperang dan jugak semasa Rasulullah pergi berdakwah.
Secara spontan seorang kanak-kanak lelaki bertanya.
Dakwah tu tempat yang banyak barang ke kak?
Sambil tersenyum, kakak pengacara tersebut menjawab.
Dakwah tu mengajak orang kepada kebaikan, mengajak orang untuk sayangkan Allah!

Saya sangat suka dengan jawapan yang diberikan oleh kakak pengacara tersebut. Sekali lagi saya ulang jawapan kakak tu tadi. Dakwah adalah mengajak orang kepada kebaikan, mengajak orang untuk sayangkan Allah. Jawapan yang diberikan sangat ringkas, jelas dan tepat. Sesuai dengan pendengar yang ada pada ketika itu. Kanak-kanak.

Saya menegaskan bahawa adalah amat penting untuk memberikan jawapan sesuai dengan tahap intelektual golongan pendengar. Maka Islam tidak dipandang susah, jumud atau rigid. Cuba bayangkan kalau kakak tadi jawab “dakwah tu adalah menyeru orang agar mentauhidkan Allah, menjadikan Allah satu-satunya Rabb yang wajib disembah atau meluruskan akidah”. Tak ke ternganga budak-budak yang dengar!

Komunikasi Berkesan
Sesebuah komunikasi dikira berkesan jika penerima maklumat (orang yang mendengar) dapat memahami informasi yang diberikan oleh penghantar maklumat (orang yang bercakap). Maka berbicaralah mengikut tahap intelektual pendengar. Tak guna kalau anda bercakap hingga 3 jam sekalipun jika informasi tak sampai kepada pendengar. Saya kongsikan beberapa tips untuk mendapat komunikasi berkesan.

Tips Komunikasi Berkesan;
  1. gunakan laras bahasa yang sesuai
  2. hadkan masa bercakap
  3. gunakan bahasa badan semasa berkomunikasi
  4. selitkan humor
  5. pastikan keadaan persekitaran baik / tidak ada ganguan
  6. tahu apa yang anda sampaikan

Laras Bahasa
Jika bercakap dengan ahli akademik, tak jadi masalah untuk anda menggunakan istilah yang agak teknikal seperti jisim, halaju, kadar perubahan. Sama lah juga jika anda bercakap dengan kanak-kanak, sangat kurang sesuai jika bercakap menggunakan istilah yang agak teknikal, apalagi menggunakan bahasa rojak.
Hadkan Masa Bercakap
Jangan berikan maklumat yang terlalu banyak dalam masa yang singkat. Hal ini akan mengakibatkan pendengar rasa letih dan tepu untuk medengar. Perlu anda ketahui bahawa, mendengar memerlukan lebih banyak tenaga berbanding bercakap. Saya pernah datang ke sebuah majlis taklim di tempat saya belajar. Pengisi tersebut memberikan terlalu banyak maklumat dalam masa 30minit taklim. Pada mulanya memang menarik, akan tetapi apabila dah banyak sangat...orang kata “telebih suda”.
Bahasa Badan
Ini juga sangat penting. Kalau anda bercakap tentang sesuatu yang penting, jangan buat muka senyum-senyum. Tak sesuai. Ekspresi muka, gerak tangan, pandangan mata, semua itu sangat membantu dalam sesebuah komunikasi.
Selitkan Humor
Fitrah manusia memang suka perkara-perkara yang lucu. Maka untuk menjadikan komunikasi anda lebih menarik, selitkan satu atau dua unsur humor ketika bercakap. Namun begitu, harus diingat bahawa jika anda tak pandai menggunakan humor, jangan cuba-cuba berjenaka dalam komunikasi yang formal. Ini akan membunuh kredibiliti anda. Satu lagi nasihat saya adalah agar jangan terlalu banyak unsur humor. Nanti pendengar hanya ingat humor yang anda lakukan, bukan topik perbualan.

Persekitaran Baik
Bayangkan keadaan ini. Seorang guru mengajar dalam sebuah kelas yang penuh dengan anak murid, akan tetapi di luar kelas tersebut ada pekerja-pekerja sedang memesin rumput. Tentu sekali proses P&P yang dilakukan tidak dapat berjalan dengan baik. Tentu ada pelajar yang tidak depat mendengar dengan jelas suara guru tersebut. Persekitaran yang baik termasuklah bunyi bising, kebersihan dan juga tempat anda mengadakan komunikasi tersebut.

Faham Perkara Yang Disampaikan

Ini adalah perkara yang sangat-sangat penting. Anda perlu tahu dengan sangat tepat tentang perkara yang anda cakapkan. Kalau tukang karut pun tak tau apa yang dia cakap. Sah lah yang dia cakap tu mengarut. Macam mana nak bagi orang faham isi yang nak disampaikan sedangkan anda sendiri tak tau apa yang dicakapkan.

OK lah, tulis banyak-banyak nanti orang bosan pulak nak baca blog MeNtaDaKkaKiKiDaL. Tu jak kali ni. wassalam

Read more...

Majalah Sinergy Edisi Ke-2

>> Sunday, September 05, 2010

Majalah Sinergy Edisi Ke-2

Dapatkan majalah Sinergy edisi terbaru keluaran Sinergy Media dengan hanya RM 3.00

Tema terbitan kali ini adalah “Indahnya Bersyukur!”

Antara yang menarik dalam edisi ke-2 adalah
  • Cermin Diri Ini
  • Ramadhan Yang Membawa Perubahan
  • Syukurnya Rasulullah
  • Masjid Yang Banyak Tiang Dari Orang
  • Cukuplah Kematian Sebagai Nasihat
  • dan banyak lagi
Dapatkan majalah ini dari pengedar yang berdekatan dengan anda
http://synergymedia2010.blogspot.com/p/senarai-pengedar-berdaftar.html

Read more...

Nasihat Buat Anak-anak Polis

>> Wednesday, September 01, 2010


Saya terpanggil untuk memberikan nasihat secara terbuka buat semua anak-anak polis yang berada di Malaysia. Tidak kira lah ibu atau bapa anda atau mungkin juga kedua-duanya sekali berkerja dengan PDRM dalam apa jawatan sekalipun. Baik serendah-rendah jawatan hingga ke jawatan yang paling tinggi dalam bidang kuasa keselamatan negara ini.

Kawan-kawan ku anak-anak polis sekalian,

Maaf saya katakan samada anda sedar atau tidak, masyarakat Malaysia ini secara umumnya mempunyai satu persepsi yang tidak baik kepada pihak PDRM. Saya yakin anda juga tahu akan perkara ini. Rasuah! Mungkin pahit untuk ditelan tapi ini adalah femomena yang berlaku dewasa kini. Masyarakat biasanya akan memandang sinis kepada anggota dan pegawai polis yang bermati-matian bekerja mengekalkan kestabilan dan keamanan negara ini dengan tidak mengambil rasuah.

Fenomena ini berlaku berikutan ada sebahagian besar anggota atau pegawai yang bertindak sedemikian. Mengambil duit suapan tanpa memikirkan natijah buruk tindakan mereka itu. Maka seluruh warga PDRM dilihat sebagai satu organisasi yang teruk bergelumang dengan rasuah. Kalau kata orang Melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Saya faham bahawa jumlah yang menerima rasuah ini bukanlah sedikit. Bukan setitik. Maka wajarlah susu yang sebelanga itu rosak.

Akan tetapi, jangan pulak kita lupa bahawa dalam setandan pisang bukan semuanya busuk. Masih ada lagi individu yang komitmen menjaga kesucian pendapatan untuk hasilnya nanti disuap ke mulut anak dan isteri. Itulah hakikatnya, PDRM dewasa kini berhadapan dengan krisis anggota dan pegawai yang tidak menghiraukan integriti diri mereka.

Saya jadi teringat kepada satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam at-Tarmizi;


Daripada Anas R.A. Bersabda Rasulullah S.A.W. “Akan datang kepada umatku satu zaman dimana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”.


Ingin saya tegaskan bahawa memelihara diri dari sumber yang haram adalah berpegang kepada agama. Hal ini kerana Islam melarang penganutnya makan dari sumber yang haram. Hadith tadi menunjukkan betapa besarnya rintangan dan dugaan bagi orang yang ingin memelihara diri dan keluarga dari api neraka. “Nabi S.A.W memberikan satu perumpamaan yang jelas menunjukkan cabaran yang perlu ditempuh. Seperti memegang bara api. Jika kita tidak bersungguh-sungguh, nescaya akan terlepas.

Lantaran itu, saya menyeru kawan-kawan anak polis yang berada di seluruh dunia. Marilah kita sama-sama mendoakan ibubapa kita agar terus dipelihara Allah dari terjerumus dengan jenayah rasuah. Berdoalah agar mereka merasa cukup dengan apa yang sudah dimiliki sekarang. Berdoalah supaya kita diberi kekuatan untuk terus menyokong perjuangan menentang rasuah.

Selain itu, marilah kita sama-sama berusaha memperbaik akhlak diri kita semua. Jauhkan diri dari perkara yang sia-sia. Kurangkan menonton TV rancangan yang tidak memberikan nilai tambah kepada iman dan tahap intelektual. Lebih-lebih lagi rancangan berbentuk hiburan. Jangan beli majalah atau komik yang tidak membina tahap kematangan berfikir. Apa lagi majalah hiburan seperti manggis, cempedak, durian, pisang atau keladi.

Kawan-kawan ku anak-anak polis sekalian,

Gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya. Kurangkan tabiat suka melepak bersama kawan-kawan tidak kiralah baik di berek polis, pusat membeli belah atau pun di mana-mana juga tempat yang menjadi “port” anda melepak. Daripada anda melepak, adalah lebih baik jika anda berada di rumah untuk membantu ibu mengemas rumah, tolong adik menyudahkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru atau apa juga kerja-kerja yang ada di rumah anda.

Paling penting saya ingin ingatkan kepada kawan-kawanku anak polis sekalian, jangan meninggalkan solat dengan tanpa ada alasan yang syarie. Solatlah di awal waktu. Bagi yang lelaki, usahakan untuk solat berjemaah di surau atau pun masjid. Mungkin berat dan payah pada permulaannya, namun apabila Allah mengurniakan kemanisan iman kepada anda, anda akan rindu dan menanti-nanti waktu solat.

Saya berpesan kepada anda ini mudah-mudahan ibubapa anda terlepas dari tanggapan buruk masyarakat yang mengaitkan polis dengan rasuah. Dengan akhlak baik yang anda tunjukkan kepada masyarakat mudah-mudahan dapat mengunci mulut orang yang ingin berkata tentang keburukan keluarga anda. Akhir sekali, berdoalah kepada Allah agar ibubapa anda terhindar dari jenayah rasuah yang membelenggu leher PDRM buat masa ini.

Sekian, semoga kawan-kawan ku anak-anak polis mendapat kebaikan dari perkara-perkara yang saya tulis.

Wallahualam

Read more...

Selamat Berpuasa

>> Wednesday, August 11, 2010

Assalamualaikum dan salam sejahtera!

Kali ini saya ingin memohon maaf atas segala dosa dan kesilapan yang pernah saya lakukan kepada semua makhluk yang ada di bumi ini. Lebih-lebih lagi buat orang-orang yang saya kenal dan pernah tersakitkan hati atau tersinggung perasaannya.Baik secara sengaja atau tidak sengaja.


Minta maaf juga buat pembaca blog MeNtaDakaKiDaL andaikata ada tersalah silap di mana-mana yang saya tidak sedar.

Akhir sekali saya kongsikan "Check-list Ibadah Ramadhan" buat semua. Mudah-mudahan ini dapat memotivasi untuk kita beramal soleh!

Checklist Ibadah Ramadhan                                                            

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

bebas diulang cetak. Powered by Blogger.

About This Blog

blog ini adalah hasil cetusan pendapat dan titipan ikhlas seorang insan kerdil di celah umat

sebarang pertanyaan boleh di emailkan ke ismiabudzar[at]gmail[dot]com

Flag Counter

free counters

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP