QR Code blog ini

QR Code

Sinergi

Photobucket

Tabayyun: Persoalan Kod Lemak Babi & Revolusi Libya

>> Wednesday, October 26, 2011

Pernah suatu ketika tatkala Walid bin Uqbah menuju ke perkampungan Bani Mustaliq kerana memungut harta sedekah atas arahan Rasulullah s.w.a. Sahabat Rasulullah tersebut melihat, Bani Mustaliq keluar beramai-ramai untuk mengeluarkan sedekah mereka. Melihat kepada perkara yang berlaku, terlintas di fikirannya bahawa Bani Mustaliq sudah murtad. Tanpa membuang masa, Walid bin Uqbah bergegas kembali menemui Rasulullah s.a.w.

Setelah mendengar berita yang disampaikan oleh Walid bin Uqbah, Rasulullah kemudian mengarahkan tentera yang diketuai oleh seprang pemuda yang mendapat gelaran “Saifullah”, Khalid al Walid. Seperti biasa, strategi perang Khalid al Walid, seorang perisik akan dihantar untuk mendapatkan maklumat. Namun begitu tatkala perisik tersebut tiba di perkampungan Bami Mustaliq, azan berkumandang dan penduduk kampung keluar untuk menunaikan solat.

Kalau dah solat, mesti la tak murtad!

Ternyata dakwaan Walid bin Uqbah tidak benar. Lantas mereka kembali ke Madinah mengkhabarkan kepada Rasulullah akan setiap yang mereka lihat semasa di perkampungan Bani Mustaliq. Natijahnya, Allah menurunkan ayat ke-6 surah al-Hujurat;

Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – oleh kerana kejahilan kamu - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Kalau tak tabayyun, nanti ada lagi yang jadi mangsa kekejaman Borhan, dalam filem ni Syamsul jadi mangsa

Kosa kata:
Tabayyun = selidiki kebenarannya

Iktibar Untuk Semua

Ternyata, sahabat Rasulullah yang bernama Walid bin Uqbah tersebut terburu-buru menyampaikan berita kepada Rasulullah. Memang betul perkara yang berkaitan dengan soal akidah adalah sangat penting dan perlu mendapat perhatian yang tinggi oleh setiap Muslim. Tapi ini tidak pernah menjadi lampu hijau kepada kita untuk bertindak terburu-buru tanpa usul periksa.

Mulai sekarang kita perlu sangat berhati-hati dengan setiap berita atau cerita yang kita dapat. Jangan terlalu mudah untuk “share” sesuatu yang nampak menarik tapi kita tidak ada ilmu tentang perkara tersebut. Jangan suka-suka “tweet” perkara-perkara yang kita belum pasti kesahihannya.

Kod Lemak Babi

Semasa Abu Dzar terbaca berita tentang kod “E” yang dikatakan ada lemak babi, rasa seriau gak dan terasa sangat penting untuk dikongsikan kepada orang ramai. Mana taknya, perkara tersebut sampai keluar kat alahkam.net kalau tak percaya boleh check kat link ni.

Dari hari ke hari, Abu Dzar berjumpa dengan artikel yang sama, “Kod Lemak Babi” atau seumpama dengannya. Setiap blog yang bercitra islami akan meletakkan (baca: copy-paste) artikel tersebut sebagai salah satu update artikel mereka.

Jadi Abu Dzar pun rasa memang sah la perkara tu.

Selang beberapa lama, akh Sufian, pemilik blog “Jejaki Tinggalan Rasul” mengeluarkan satu artikel yang terlihat menongkat arus. Menempelak segala yang tertulis pasal Kod Lemak Babi tersebut. Bermula dengan kewujudan penulis yang bernama Dr M Amjad Khan dan juga tempat penyelidikan itu yang dibuat di Medical Research Institute United States. Untuk maklumat yang lebih tepat, pembaca boleh berkunjung ke blog Jejaki Tinggalan Rasul tersebut. Perkara ini membuka mata Abu Dzar. Kita kurang membuat kajian tentang sumber sesuatu berita dan juga kesahihannya sebelum disampaikan kepada orang lain.

Tabayyun sangat penting, jangan sesekali kita termasuk dalam jerat yang dibuat untuk memperdaya umat Islam. Ayat ke-6 surah al-Hujurat tersebut mengajarkan kita agar kita mengulang periksa atau anda biasa dengar adalah “recheck” berita yang disampaikan oleh orang fasik. Sekarang mari kita lihat siapakah yang dimaksudkan dengan orang fasik. Menurut bahasa, fasik membawa makna orang yang tidak mempedulikan perintah Allah. Manakala dari segi syara’ pula, fasik adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau kekal melakukan dosa-dosa kecil.

Sekarang mari kita lihat siapa yang memiliki dan mengawal media pada masa ini. British Broadcasting Corporation (BBC), American Broadcasting Corporation (ABC), Bloomberg atau apa juga syarikat yang menjadi sumber rujukan dunia ini. Mendapat berita dari golongan seperti ini perlu sangat berhati-hati. Ingat perintah Allah untuk kita memeriksa kembali setiap berita yang kita terima! Walaupun memang ada wartawan mereka yang ikhlas dan jujur dalam menakalkan berita. Namun, kumpulan ini hanya segelintir jika nak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih mengeksploitasi berita dari kebenaran.

Perkara yang jauh lebih parah adalah apabila ada blog yang mula menulis tentang kematian seorang wira di Libya. Muammar Gaddafi!

Muammar Gaddafi

Pemimpin Libya yang memerintah selama 42 tahun. Digulingkan rakyat dalam siri revolusi Timur Tengah. Setelah revolusi rakyat yang berlaku di Tunisia dan juga Mesir, rakyat Libya pula mengambil langkah membebaskan diri dari diktator Muammar Gaddafi.

Namun begitu, tatkala perjuangan rakyat Libya ini dilihat akan berakhir dengan kejayaan yang gemilang. Penduduk Malaysia mula membaca tulisan yang mengatakan bahawa Gaddafi adalah seorang pejuang Islam. Malah tulisan tersebut ada dimuatkan dalam seorang ahli parlimen di Malaysia! Dalam blog tersebut, ada disenaraikan 19 kebaikan dan usaha murni kerajaan Libya semasa Gaddafi memerintah dalam membela nasib rakyat. Boleh baca sendiri dalam blog yang Abu Dzar ceritakan ini.

Maaf andai lancang berbicara, tapi jujur Abu Dzar tidak ada apa-apa motif politik hanya pada pendapat Abu Dzar, selaku seorang ahli parlimen, YB seharusnya lebih bijaksana dalam menyampaikan maklumat. Nyatakan sumber rujukan!

Baru-baru ini juga Abu Dzar terbaca blog yang menulis akan kaitan Gaddafi, ilumaniti dan juga dajjal di bolg ini. Abu Dzar tak pasti samada penulis blog suaraengineer tersebut menulis sendiri atau post tersebut adalah cuplikan dari tempat lain. Tapi yang pasti suaraengineer.blogspot ada merujuk kepada YB tadi dalam menzahirkan kebaikan dan jasa Gaddafi.

Sekarang Abu Dzar nak bawakan satu pendapat orang soleh dalam peristiwa revolusi Libya. Prof. Dr. Ali al-Qaradaghi dan juga Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi mewakili Persatuan Ulama Dunia mengeluarkan kenyataan rasmi di web ini. Haha tak faham bahasa arab? Jangan risau, sorang pelajar Malaysia di Mesir akh Syihabudin Ahmad telah menterjemahkannya kepada bahasa Melayu dalam blognya ini.

Abu Dzar juga suka untuk berkongsi tulisan BroHamzah seputar isu Gaddafi ini. Pada awal-awal revolusi ini meletus BroHamzah membawa kita mengenali semua ahli keluarga Gaddafi dalam blognya di link ini.

Jadi Abu Dzar berpesan agar kita lebih berhati-hati dalam menyampaikan berita, tak kira la apa pun bentuk berita tersebut! Semoga Allah melindungi umat Islam dari tipu helah musuh-musuh Islam.

Read more...

Fenomena Jam Pasir...berulang lagi!

>> Thursday, October 20, 2011

Apabila tiba musim IPT buat konvokesyen. Abu Dzar teringat kat post yang bertajuk “Akademik, Pelajar dan Jam Pasir”. Tapi lebih menarik lagi adalah kali ini fenomena jam pasir tu bakal dilalui oleh Abu Dzar sendiri. Abu Dzar tak pasti, adakah Abu Dzar mangsa keadaan atau sekadar menuruti tuntutan semasa. Setelah beberapa lama berfikir, Abu Dzar rasa fenomena ini adalah wajar-wajar saja! (err…walaupun sikap idealis dalam diri menafikan apa yang berlaku ahaks!)

Tapi pasti ada syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadikan fenomena jam pasir ini pada tahap wajar-wajar saja.

Ingat tak 10 muasofat tarbiyah yang digariskan oleh Hassan al-Banna?

Abu Dzar rasa itu adalah syarat yang perlu sentiasa dipatuhi oleh setiap graduan. Memandangkan biasanya para graduan akan mempunyai masa tarbiyah yang mencecah 3 atau 4 tahun di IPT, maka Abu Dzar beranggapan bahawa elemen-elemen muasofat tarbiyah tersebut perlu disentuh dan diterangkan. Barulah tak rugi. Degree dapat, ilmu tentang Islam pun mantap.

Sebelum kita bercerita lebih lanjut tentang ini, mari kita review sikit apa 10 Muasofat Tarbiyah tersebut;

  1. Salimul Akidah – Akidah yang sejahtera
  2. Sahihul Ibadah – Ibadah yang betul
  3. Matinul Khuluq – Akhlak yang mantap
  4. Mutsaqqafal Fikri – Luas pengetahuan
  5. Qawiyul Jismi – Kuat tubuh badan
  6. Qadirun ala Kasbi – Mampu berdikari
  7. Mujahidun Linafsihi – Mampu mengawal nafsu
  8. Harithun ala Waqtihi – Menjaga masa
  9. Munazamun fi Syu’unihi – Tersusun urusannya
  10. Nafiun Lighairihi – Bermanfaat untuk orang lain

Antara lain Abu Dzar pilih Muasofat Tarbiyah adalah kerana ada beberapa perkara yang telah digariskan tersebut sangat tepat kepada sasaran yag kita bincangkan ini. Graduan.

- Luas Pengetahuan –
- Mampu Berdikari –
- Menjaga Masa –
- Tersusun Urusannya –
- Bermanfaat Untuk Orang Lain -

Ini adalah perkara yang boleh diukur secara explicit oleh masyarakat. Masyarakat?? Ya, bagi para graduan, kita bakal berdepan dengan masyarakat. Bukan lagi pelajar IPT yang lingkungan umurnya 20 – 25 tahun. Inilah yang menyebabkan 5 perkara ini di atas sangat penting untuk dikuasai.

Menggarisbawahkan 5 perkara tersebut tidak bermakna Abu Dzar menafikan kepentingan dan keperluan akidah, ibadah atau apa juga yang tidak tersenarai. Cuma merasakan bahawa perkara tersebut telah banyak disentuh dalam halaqoh semasa berada di IPT. Maka inilah masanya untuk memaparkan keberhasilan tarbiyah tersebut dengan amal.


InsyaAllah Abu Dzar akan berkonvo pada hujung bulan November. Lantaran itu, Abu Dzar ada menyediakan satu greeting card yang dicadang untuk diberikan kepada ikhwah dan juga beberapa orang course-mate. Dan kalau ada yang berminat, boleh la download kat link 4shared ni. Tak cantik pun cuma pakai Microsoft Publisher je. Kalau nak cantik, print la atas kertas yang berwarna.

Read more...

Tembakau Yang Dihisap

>> Saturday, October 15, 2011



Fenomena merokok sudah dianggap biasa. Baik di negara maju di Eropah dan Amerika mahupun dikalangan negara membangun seperti Malaysia. Ini sebenarnya satu kebiasaan yang tidak patut berlaku Negara-negara Islam. Negara Malaysia khasnya, mengaku sebagai Negara Islam tidak wajar menjadikan fenomena merokok ini sebagai sesuatu yang dianggap biasa. Hal ini berikutan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 di Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa merokok adalah haram hukumnya di sisi Islam. H.A.R.A.M.

Rokok yang ada dijual hanya layak dibeli oleh orang bukan Islam sahaja. Seperti halnya daging babi yang hanya boleh dibeli oleh non-muslim. Begitu juga arak. Semua ini telah diputuskan sebagai haram. Maka selaku orang Islam yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, kita wajar menuruti segala yang telah diputuskan dengan hati yang lapang.Bukan tampil dengan teori-teori untuk menfikan keputusan majlis fatwa tersebut.

Sebutkan apa juga teori yang ada:

1.    Dapat hilangkan mengantuk.
2.    Kelihatan lebih cool.
3.    Fokus lebih tinggi.
4.    Fikiran lebih tenang
5.    Meredakan perasaan marah.
6.    Menjana ekonomi negara.

Semua ini hanya alasan yang dicipta oleh manusia yang mungkin hatinya telah jauh dari Islam. Bukan kah Islam mengajarkan umatnya untuk berzikir supaya hati menjadi tenang. “Ketahuilah, dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenang” (ar-Ra’d:28). Islam mengajarkan agar umatnya supaya mengawal rasa marah. Sekiranya terasa marah, hendaklah kita duduk. Jika marah itu masih tidak hilang, hendaklah kita baring. Dalam hadith lain, Rasulullah mengajarkan kita agar berwudhu’ dan solat sunat untuk meredakan rasa marah.

Seribu satu alasan

Alasan lain seperti “nak dilihat bergaya dan cukai rokok mampu menjana ekonomi negara” tidak lain hanyalah retorik makhluk yang bertuhankan nafsu. Golongan seperti ini tidak akan pernah berhenti untuk mencari alasan agar keinginan mereka tercapai. Hukum tuhan awal-awal lagi dibakulsampahkan.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebenarnya mengambil kira mudharat yang lebih besar berbanding manfaat yang bakal diperoleh jika umat Islam di Malaysia merokok. Berikut disenaraikan beberapa kesan buruk jika seseorang itu merokok;

  1. Rokok menjejaskan akal (mental)
  2. Rokok membahayakan kesihatan fizikal
  3. Rokok membahayakan keselamatan diri dan orang lain
  4. Rokok membahayakan keturunan
  5. Rokok mengganggu manusia lain
  6. Rokok menimbulkan akhlak buruk
  7. Rokok mensia-siakan waktu hidup
  8. Rokok bercanggah dengan maruah keislaman
  9. Rokok membazirkan harta (wang)
  10. Rokok mengandungi dadah (nikotin)

Khilaf dahulu kala

Suatu ketika dahulu, memang ada pihak yang mengatakan bahawa merokok adalah makhruh atau paling syadid adalah harus. Namun begitu, khilaf tersebut berlaku lantaran tidak ada kata putus yang dikeluarkan saat ditanya tentang hukum merokok. Berikut saya sertakan soalan dan jawapan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa negeri Kelantan

“Tembakau jawa yang kelaziman orang melayu memakannya (menghisapnya) seperti dimasukkan dalam daun nipah (rokok daun nipah) atau sigaret dan cerut dan lainnya daripada daun tembakau itu. Adakah sekalian yang tersebut itu haram atau makruh atau harus?

Jawapan; “Masalah ini khilaf (berselisih) pendapat ulama. Kata setengah halal dan kata setengah haram. Zat tembakau itu suatu yang harus diisti’malkan dia (digunakan) bahkan sunat jika boleh jadi ubat. Jikalau tidak jadi makruh selama tidak jadi (mendatangkan) mudarat dengan dia pada akal atau badan. Adapun jika jadi mudarat dengan dia maka haram diisti’malkan dia (digunakan).

Fatwa negeri Kelantan di bawah kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pertanyaan 202, jilid 1.

Ijma’ Ulama

Kini segalanya sudah jelas. Majlis Fatwa Kebangsaan telah sebulat suara bersetuju dengan hukum merokok. Haram!

Adakah kita masih lagi nak memeningkan kepala dengan khilaf dahulu kala sedangkan segala-salanya sudah terang lagi bersuluh.

Tepuk dada, tanyalah iman!

InsyaAllah iman yang sihat akan cenderung memilih kebaikan, walaupun kebaikan itu tidak sentiasa berada di atas jalan yang mudah.


Read more...

Tahan Lasak

>> Tuesday, October 11, 2011

Abu Dzar, pegi perkhemahan hari Khamis nanti kan?

Ha ah, ada apa-apa ke yang Abu Dzar kena tau ke kak?

Tak de, gini je, nak bagi tau nanti kat sana tu kena lasak sikit la. Sebab camping macam ni memang kena lasak!

Owh tak de hal. OK je


Hari pertama di tapak perkhemahan…tahap kelasakkan yang perlu dihasilkan tak de la lasak sangat. Setakat mendirikan khemah, buat gadget, pindu gerbang dan seumpamanya.

Oleh itu, Abu Dzar hampir tak faham apa yang disampaikan untuk kena “lasak sikit” pada masa perkhemahan ini.

Hari kedua datang menyusul. Kalau ikut perancangan asal, Abu Dzar kena bersama dengan peserta kembara lasak. Berlari bersama mereka untuk member semangat dan peransang. Perkara yang nak digarisbawahi adalah, larian itu sejauh 5km mendaki beberapa bukit di sekitar tapak perkhemahan.

Abu Dzar yakin boleh berlari bersama dengan pelajar-pelajar tersebut. Tapi, pada saat-saat akhir, jurulatih mereka menyatakan hasrat untuk berlari bersama palajar tersebut. Mungkin Allah tahu apa yang terbaik untuk Abu Dzar ^_^

Jadi waktu tersebut Abu Dzar gunakan untuk tilawah quran. Alhamdulilah banyak juzu’ juga sempat dihabiskan sebelum Abu Dzar solat sunat duha. Lepas tu Abu Dzar sambung tilawah sampai terqailullah! Tengah-tengah syok qailullah dalam khemah, Abu Dzar dikejutkan oleh hiruk-pikuk pelajar yang bersiap-siap untuk berkawad kaki.

Untuk pengetahuan pembaca, peserta kawad kaki kontinjen Abu Dzar adalah pelajar perempuan. Mereka bersiap dengan seragam kadet polis. Siap dengan bulu ayam kat atas kepala! Tapi pakaian kadet polis yang paling segak Abu Dzar pernah tengok adalah kat profile picture adik Abu Dzar. Memang smart habis la!


Tetiba Abu Dzar dipanggil oleh seorang lagi guru pengiring untuk membantu pelajar perempuan ini bersiap! Tolong siapkan budak-budak ni. Tali pinggang, selempang, semua ni kena pakaikan. Kena lasak sikit la. Pegang je budak-budak ni!

...

Saya tercengang!

Itu ke definisi lasak?

Abu Dzar tak lebih dari memerhati dan mengarahkan apa yang patut mereka buat dan betulkan. Tapi ada la sorang pelajar yang terkial-kial nak buka balik selempang tang terselit kat tali pinggang belakang dia. “Ain, meh sini cikgu tolong” Abu Dzar tarik selempang yang terselit. Itu sahaja. Tapi tetap Abu Dzar rasa sangat tidak selesa sebenarnya. Kata orang, mula-mula memang la takat tolong sikit-sikit je. Bila dah terbiasa, lain pulak jadinya! Astagrfirullah…Abu Dzar khilaf. Sepatutnya Abu Dzar biarkan je pelajar lain tolong.

Taubat

Abu Dzar bukanlah seorang  yang sangat suci dari dosa. Abu Dzar tidak maksum, tidak terlepas dari melakukan dosa. Tapi itu tak bermakna sebagai manusia kita boleh sewenang wenangnya malakukan dosa.

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”

“Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, mereka kekal didalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal.” (AI-Imran: 135-136)

Ini  adalah ciri orang beriman. Bukan tidak pernah melakukan dosa, tapi memohon ampun atas setiap dosa yang dilakukan.

Ikhtilat


Abu Dzar kira hal ini adalah suatu yang sangat kronik bagi masyarakat Malaysia buat masa ini. Perbuatan bertepuk tampar sudah tak kenal batas. Ikut suka je! Abu Dzar juga sangat yakin dan percaya bahawa ini adalah salah satu punca zahir kepada masalah sosial yang berlaku sekarang.

Walaupun semua umat Islam di Malaysia maklum bahawa, lelaki dan wanita yang halal berkahwin tidak boleh bersentuhan antara satu dengan yang lain. Tapi ilmu itu hanya ada dalam ingatan sahaja. Tidak berjaya dimanfaatkan dalam urusan seharian. Kalau jumpa dengan perempuan, mesti terasa nak sentuh. Tak kira la samada cubit, sapu, gosok atau apa saja yang melibatkan perkara yang seumpama dengannya.

Tidakkah kita takut dengan azab Allah di neraka kelak? Atau kita terasa sudah kebal dan “tahan lasak” dengan siksa api neraka?

Read more...

Cincin Tanda

>> Friday, October 07, 2011

Lama jugak tak terupdate blog ni. Post ni dah tertangguh sejak minggu ke dua berkerja lagi. Ini sebenarnya adalah untuk pencerahan bagi yang hairan dengan cincin di jari Abu Dzar.

Cincin Pada Hukum Islam

Menurut Ibn Taimiyah R.A,

“Bagi cincin Perak, adalah dibenarkan menurut sepakat Imam-Imam, kerana sesungguhnya ia sahih datang dari riwayat bahawa Nabi memiliki cincin Perak, dan sesungguhnya para sahabatnya juga memakai cincin. Ini berbeza dengan Emas, yang diharamkan oleh sepakat Imam-Imam yang empat” [Majmu' Fataawa 25/63-65].

Abu Dzar rasa tak de masalah nak faham pasal hukum pakai cincin ni. Mudah je. Lelaki dan perempuan boleh pakai cincin tapi lelaki hanya boleh pakai cincin perak sahaja. Perempuan boleh pakai cincin emas. Hal ini jelas menurut satu hadith yang diriwayatkan oleh Ali bin Abu Talib r.a.

“Rasulullah s.a.w. mengambil sutera, ia letakkan di sebelah kanannya, dan ia mengambil emas kemudian diletakkan di sebelah kirinya, lantas ia berkata: Kedua ini haram buat orang laki-laki dari umatku.”(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Hibban dan Ibnu Majah) Ibnu Majah menambah: “Halal buat orang-orang perempuan”.

Adat Melayu

Jika dilihat pada pandangan adat masyarakat Melayu, orang yang bercincin, paling tidak, dia sudah bertunang. Lebih-lebih lagi bagi orang Melayu lelaki yang masih muda. Kerana agak janggal jika orang lelaki dari masyarakat Melayu bercincin. Cincin adalah suatu tanda yang besar maknanya. Mungkin bagi wanita, cincin boleh dikira sebagai aksesori yang menghias diri. Tapi pada pandangan nilai seorang lelaki tidak begitu. Mesti ada sesuatu ^_^

Mesti anda pernah mendengar istilah cincin merisik, cincin tunang dan juga cincin nikah. Orang Melayu lelaki biasanya akan menghantar sebentuk cincin kepada pihak wanita untuk bertanya samada wanita itu sudah berpunya atau belum. Jika cincin tersebut diterima, maka pihak lelaki akan berbincang kepada soal pertunangan. Dan pasti, pada ketika ini, satu cincin lagi akan diberikan kepada pihak wanita. Cincin tunang.

Cuma sejak beberapa waktu kebelakangan ini, cincin merisik dan cincin tunang dihantar bersama-sama pada satu majlis. Maklum la, orang sekarang nak cepat je. Sebab tu dua majlis yang awal ini disekalikan. Tambahan pula, kebanyakan pasangan yang bercadang untuk berumahtangga tersebut sudah pun saling mengenali. Maka sudah pasti mereka tahu akan status masing-masing.

Oleh itu, masyarakat Melayu maklum bahawa bercincin bermakna sudah berpunya!

Usaha Menjaga Iman

Dulu Abu Dzar rajin berforum dalam web iluvislam.com. Dan pernah terbaca satu post di forum iluvislam pasal isu couple. Forum punya forum, ada yang memberitahu bahawa kakaknya terpaksa bercincin kerana untuk mengelakkan dari diganggu. Sebab cincin tu buat tanda kononnya dia sudah berpunya.

Perbuatan tersebut sangat mengkagumkan Abu Dzar! Memang satu tindakan yang bijak.

Lantaran itu, Abu Dzar mengambil tindakan yang sama sebelum keluar ke tengah masyarakat. Beli cincin sendiri dan pakai sendiri.  Pertama kali adalah ketika hendak melangkah sebagai guru praktikal. Kali kedua adalah semasa tamat belajar di universiti.

Memang menakjubkan. Ramai yang bertanya pasal status dan mereka menjaga batas pergaulan. Satu perkara yang agak lucu adalah apabila ada yang bertanya tentang status Abu Dzar dan Abu Dzar jawab sambil berseloroh, dulu Abu Dzar jawab “status saya adalah guru praktikal” ahaks! Sekarang ni saya jawab “saya guru ganti” yayy!

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

bebas diulang cetak. Powered by Blogger.

About This Blog

blog ini adalah hasil cetusan pendapat dan titipan ikhlas seorang insan kerdil di celah umat

sebarang pertanyaan boleh di emailkan ke ismiabudzar[at]gmail[dot]com

Flag Counter

free counters

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP