QR Code blog ini

QR Code

Sinergi

Photobucket

Kekayaan Kita

>> Tuesday, November 01, 2011

Menjaga hati dari rasa cintakan dunia adalah satu cabaran yang besar bagi manusia yang hidup pada zaman ini. Tidak kira siapa, pasti berat untuk seseorang manusia itu menjaga hatinya agar tidak terpesong kepada dunia. Apa tidaknya, setiap hari kita akan disajikan dengan keseronokan hidup seperti kereta mewah, rumah besar, perniagaan atau mungkin juga pasangan hidup. Maka itu membuatkan kita terlupa akan janji Allah untuk berada kekal di alam akhirat.

Tumpuan kita pada masa ini adalah untuk mengejar kemewahan agar tidak kalah bertanding dengan jiran sebelah rumah yang membeli set sofa baru, agar kita terasa bergaya dengan pakaian jenama terkini atau mungkin juga agar hati kita tenteram dengan aksesori tambahan kereta kita. Oleh itu, kita akan berusaha sedaya-upaya untuk memenuhi keinginan hati supaya tidak terlihat kolot atau ketinggalan zaman berbanding orang lain.

Perkara ini sebenarnya bukanlah fenomena baru. Ini hanya putaran dari kitaran sejarah yang terus berulang-ulang dari masa ke masa. Dan bukti sejarah telah merakamkan kemusnahan sebagai noktah bagi bangsa yang mengejar kemewahan dunia ini.

Putaran Sejarah

Lihat saja kepada kaum Madyan yang tidak amanah dalam perniagaan. Akibat terlalu menginginkan keuntungan yang banyak, mereka sanggup berlaku tidak amanah dalam perniagaan. Sebagai balasan, Allah datangkan petir kepada mereka. Begitu juga yang berlaku kepada Firaun. Firaun merasakan bahawa dunia ini adalah miliknya. Malah lebih dari itu, dia merasakan bahawa dirinya adalah tuhan kepada alam ini. Akhirnya Allah tenggelamkan Firaun dan pengikutnya dalam Laut Merah. Kaum Yahudi yang ingkar akan perintah beribadah pada hari Sabtu  kerana ingin mendapatkan hasil tangkapan ikan yang lebih banyak telah Allah sumpah menjadi kera. Kisah ini dapat dibaca dalam surah al-Baqarah pada ayat ke-65

Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar di antaramu pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: "Jadilah kamu kera yang hina".

Hakikat Kaya

Mengejar kemewahan hidup didunia yang sementara ini akan menghantarkan kita kepada kesudahan yang menghinakan diri. Bahagia di dunia hanya yang kita kecapi hanya untuk beberapa ketika jika hendak dibandingkan dengan sifat hidup diakhirat yang kekal abadi. Ya, K.E.K.A.L untuk selama-lamanya, sampai bila-bila!

Mari kita perhatikan hakikat sebenar kaya yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w;

“Dari Abu Hurairah r.a: Rasulullah saw bersabda, “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta benda tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan hati.” (HR Bukhari & Muslim)

Zuhud adalah kata kunci kepada persoalan ini. Namun begitu, kita perlu faham apa itu zuhud dalam erti kata yang sebenar. Zuhud bukanlah bererti membuang dunia dari pandangan mata dan menumpukan kepada hal ibadah dan akhirat semata mata. Zuhud adalah kehidupan yang tidak dikuasai oleh kemewahan dan keseronokan dunia. Kayalah umat Islam! Tandingi kekayaan Bill Gates yang pendapatannya adalah menghampiri RM 960 sesaat. Tapi jangan pernah hati kita terpaut kepada perhiasan dan kesenangan hidup di dunia ini walau seinci.

Salah Guna Dalil

Jangan pula kerana menggunakan alasan untuk hidup zuhud, kita meninggalkan usaha untuk hidup berjaya di dunia ini. Apabila umat mengalami kemunduran dalam bidang teknologi, jangan sesekali kita menggunakan alasan bahawa umat Islam perlu zuhud. Jika kita ketinggalan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan, zuhud bukan alasan yang ampuh untuk melepaskan diri. Umat ini perlu cemerlang dan berjaya dalam setiap aspek kehidupan. Hanya saja, perkara yang perlu kita betulkan adalah sudut pandang kita mengukur tahap kejayaan.

Sehubungan dengan itu, sifat qanaah perlu dipupuk dalam diri seseorang muslim. Sifat qanaah yang luhur akan menjadikan seorang insan itu sentiasa bersyukur kepada Allah. Qanaah adalah kata pinjaman bahasa Arab yang membawa maksud sikap berpada-pada atau berpuas hati dengan perkara yang telah dimiliki. Atau mudahnya, mampu menahan diri dari membeli sesuatu perkara tatkala kita mampu untuk berbuat demikian. Ini selaras dengan firman Allah dalam ayat ke-14, surah Ibrahim

Dan, tatkala Tuhanmu memaklumkan: "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".

Sebagai contoh, tak kira sehebat mana model i-phone yang ada dipasaran, kita tetap rasa tenteram dengan hand-phone yang sudah sedia ada kita miliki. Lebih baik lagi seandainya kita tidak mempunyai rasa iri hati dengan kawan kita yang memiliki phone model terbaru tersebut. Malah kita mampu mempertimbang antara kehendak dan juga keperluan. Tak salah untuk membeli hand-phone baru, asalkan tahu had untuk membeli. Begitu juga dengan benda lain yang ada dijual di pasaran. i-Pad, Galaxy Tab atau apa juga namanya. Jangan membeli kerana menurut hawa nafsu. Sekali lagi saya menekankan agar kita dapat membezakan antara keperluan dan juga kehendak.


Merancang Kehidupan

Mari kita lihat kehidupan kita ini dalam jangka masa yang panjang. Cuba bayangkan siapa dan bagaimana kita hidup dalam masa 10 tahun akan datang? Jika kita bercita-cita untuk menjadi hamba yang akrab dengan Allah, mulakan langkah untuk taqarrub kepada-Nya dari sekarang. Sementara usia kita masih muda dan mudah untuk berubah. Sekiranya usia kita sudah banyak, agak sukar pada ketika itu untuk memupuk sikap dan perangai baru. Walaupun hakikatnya hamba Allah tak pernah terlambat untuk kembali mendekatkan diri kepada-Nya. Selagi kita masih bernafas, pintu taubat dan pengampunan Allah sentiasa terbuka luas.

Namun begitu, jika kita mengimpikan hidup yang biasa-biasa sahaja, terus terpengaruh dengan kesenangan hidup di dunia yang seba indah ini. Akal dan iman kita sebenarnya perlu dicabar untuk berfikir tentang kehidupan yang lebih kekal. Akhirat seperti apakah yang kita mahu sebenarnya? Adakah kita cenderung untuk memilih syurga yang luasnya seluas langit dan bumi beserta segala nikmat yang Allah janjikan. Atau kita sanggup menjadi bahan bakar dan terus menerus diazab Allah dalam neraka?

Akhir kata, mari sama-sama kita mentadabur surah Ali Imran ayat ke-185;

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

bebas diulang cetak. Powered by Blogger.

About This Blog

blog ini adalah hasil cetusan pendapat dan titipan ikhlas seorang insan kerdil di celah umat

sebarang pertanyaan boleh di emailkan ke ismiabudzar[at]gmail[dot]com

Flag Counter

free counters

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP