QR Code blog ini

QR Code

Sinergi

Photobucket

Promosi: Sinergi Edisi 9

>> Monday, December 17, 2012


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Promosi Asli : Synergy Media Sdn Bhd

SINERGI EDISI KE-9 
(GENERASI SINERGI PERTAMA FULL COLOUR)
HANYA DENGAN HARGA RM4.00!!!

Assalamu'alaikum wbt,

Alhamdulillah, SINERGI kini memberikan sebuah anjakan paradigma dengan pelbagai keistimewaan baru yang amat menarik bermula SINERGI Edisi Ke-9!!! 

  1. Cover yang menggunakan konsep menarik hasil dari tangkapan gambar Photograper Synergy Media Sdn Bhd (SMSB), 
  2. Bahagian dalam yang kini semuanya berwarna, 
  3. Konsep grafik & editing yang lebih menarik perhatian yang terus menembus masuk jiwa remaja dewasa ini!!!
  4. Percuma Kalendar SINERGI Tahun 2013
  5. Percuma Poster Bergambar SINERGI Edisi Ke-9
  6. Kartunis2 baru yang sangat berbakat turut diserlahkan kali ini
  7. Penambahan karya-karya Madahpujangga yang dihantar oleh para pembaca!!!
  8. Saksikan kolumnis2 baru yang mengisi rubrik-rubrik kali ini!!!
  9. Penambahan harga yang terlalu sedikit dan masih mengekalkan harga yang sama seluruh Malaysia!!!
  10. Infak kepada kebajikan ditambahkan lagi dengan setiap pembelian SINERGI!!!
  11. dan banyak lagi!!!! Ayuh beli dan lihatnya sendiri!!!
SINERGI Edisi Ke-9 kali ini yang membawa tajuk "Telah Tertulis Rezekimu" bakal menyentuh jiwa serta memberikan kefahaman dan keyakinan agar kita semua redha dengan ketentuan dari Allah semata.

Ayuh bersama memiliki Majalah SINERGI!!! Kepada yang ingin bersama menyebarkan Dakwah melalui pena ini, SINERGI amat mengalu-alukan dan menawarkan untuk menjadi pengedar majalah SINERGI ini dengan komisyen yang sangat berbaloi!! Bukan hanya di dunia, bahkan ganjaran di akhirat sana!!! InsyaAllah..

Sebarang tempahan atau pertanyaan boleh terus emel ke synergymedia2010@gmail.com atau hubungi +6019-4544871..

Read more...

Teraputik

>> Tuesday, November 27, 2012


Kehebatan kajian dan penemuan terkini dalam bidang sains & teknologi yang mula meletus sejak beberapa dekad kebelakangan ini memang sangat bermanfaat dan boleh dibanggakan. Perkara ini dapat memudahkan urusan harian kita dan mungkin juga menyelesaikan masalah yang kita hadapi.

Lihat sahaja di sekeliling kita, bangunan, kereta, talifon bimbit adalah antara contoh yang paling mudah. Kalau dulu Kuala Lumpur kerap dilanda banjir kilat, bidang kejuruteraan telah membantu dengan membina 'smart tunnel'. Lambakan tablet dan smart phone juga adalah manfaat dari teknologi hari ini. Orang ramai tidak lagi perlu memikul komputer ke hulu ke hilir. Semua ini adalah manfaat yang perlu kita syukuri kepada Allah.

Namun begitu, kehebatan teknologi pada hari ini seolah olah tidak mampu untuk membantu menyelesaikan masalah sosial yang dihadapi oleh masyarakat. Semakin lama, keimanan terhadap Allah semakin terhakis. Tidak ada alat yang berteknologi tinggi berjaya dicipta untuk mengurangkan kadar masalah sosial yang berlaku. Satu contoh mudah tidak ada penggera yang dapat menjauhkan seorang lelaki dengan wanita yang bukan mahramnya.

Suka atau tidak, kenyataan ini perlu ditelan. Masalah sosial yang melanda masyarakat dewasa ini tidak memerlukan sebarang peranti elektronik. Perkara utama yang perlu diperhatikan adalah pembinaan iman setiap pemuda pada hari ini. Adakah kita sedang berusaha keras membina jambatan iman untuk ke syurga Allah? Atau kita sebenarnya menyediakan landasan menuju ke neraka? Fikirkanlah apa yang sedang kita lakukan.

Jika kita sedang membina iman, alhamdulilah...teruskan hingga dapat melihat wajah Allah kelak. Tapi sekiranya ternyata kita sedang menuju ke neraka, masih ada waktu untuk mengubah haluan. Pintu taubat masih terbuka luas. Jangan sia siakan peluang ini. Allah swt berfirman dalam surah al-an'am ayat 125

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

Mohonlah kepada Allah agar kita tergolong dalam kelompok orang yang lapang hatinya untuk menerima hidayah Allah. Jangan kita terdiri dari golongan yang jauh dari hidayah.

Jika kita ulang tinjau kitab sirah, sebelum kelahiran Rasulullah, masyarakat Arab dulu juga pernah berhadapan dengan masalah sosial yang kronik. Pelacuran, buang bayi, arak, tilik nasib semuanya pernah berlaku. Tahu apa yang telah Rasulullah lakukan untuk membaikpulih keadaan ini?

Rasulullah tidak membina bangunan pencakar langit. Tidak juga mencipta perisian komputer. Perkara yang telah dilakukan oleh baginda adalah halaqoh. Sejurus selepas menerima wahyu kali ke-2 melalui Jibril, baginda terus mengajak beberapa orang sahabatnya untuk berhalaqoh di rumah Alarqam bin Abi Alarqam. Dengan halaqoh yang multijah tersebut, Islam tersebar ke serata dunia.


Inilah rawatan teraputik yang boleh dijadikan contoh untuk merawat penyakit umat pada hari ini. Dampak rawatan teraputik bawaan Rasulullah ini, para sahabat gigih melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Kejayaan kaedah rawatan ini tidak boleh dinafikan lagi, 3/4 dunia pernah damai dan makmur di bawah naungan Islam.

Maka hari ini saya mengajak semua untuk kembali menjalani kehidupan nubuwah ini. Cara hidup yang mampu memandu kita menuju syurga yang penuh dengan rahmat dan redha Allah. Jom halaqoh!

Read more...

Tips menjaga iman ketika cuti sekolah

>> Wednesday, November 14, 2012



dah dekat cuti sekolah ni...mesti ramai students sekolah menengah, sekolah rendah, pra-sekolah dan apa juga jenis sekolah seronok. Cuti sekolah kot! Dulu masa Abu Dzar masih muda remaja pun seronok je bila dah hujung tahun macam ni. Mana taknya, kalau dah namanya cuti mesti la kita dapat peluang menjauhkan diri dari perkara-perkara yang namanya homework, kena marah dengan cikgu, gaduh dengan kawan...dan yang paling best bagi yang tinggal di asrama adalah dapat balik rumah!!!

Jadi dalam keseronokan mood nak bercuti ni, Abu Dzar suka la nak berkongsi sikit tips untuk menjaga iman ketika cuti sekolah. Jom kita sama-sama baca dan manfaatkaan.

1. Jaga solat 5 waktu

paling penting sebagai orang Islam, jangan sesekali tinggal solat. Mana la tahu, kalau kat sekolah ada warden & BADAR yang gegar asrama suruh gi solat kat surau sekolah. Lepas balik rumah nanti mesti la warden dah tak gegar rumah kita. Tapi tu tak bermakna kita terlepas dari kewajipan untuk solah 5 waktu. Lagi pun Allah dah pesan solat ni sebenarnya dapat mengelakkan kita buat perkara yang nang-hado. Kalau tak caye buka surah al ankabut ayat 45.


2. Kurangkan berhebinasi

Bayi memang memerlukan 18jam tidur untuk membesar dengan baik. Tapi kalau umur dah 15 tahun pun tidur 18jam jugak tu memang nak kena pelangkung. Masa cuti memang boleh berehat lebih. Tapi bukan tidur sepanjang hari. Banyak lagi perkara yang bermanfaat boleh dibuat untuk mengisi masa lapang. Paling penting...jangan tidur lepas subuh! Awal pagi bagus kalau kita dapat mengaji quran, baca ma'tsurat + menghafal hadith@ayat quran. Kalau mengantuk sangat-sangat, gi la riadah.

3. Letakkan had masa untuk internet

generasi Y ni memang tak dapat dipisahkan dari access internet. Jadi perkara yang boleh dilakukan adalah meletakkan takat maksimum penggunaan internet dalam sehari. Abu Dzar cadangkan buka internet 1jam waktu pagi, 1jam ptg dan akhir sekali beberapa minit sebelum tidur. Satu perkara yang elok untuk diamalkan sebelum kita berinternet-ria adalah senaraikan website yang kita nak tengok. Baru la tak merewang-rewang ke tempat lain. Kalau dah selesai, tinggalkan PC @ laptop@ tablet anda. Pegi buat benda lain pulak. Jangan sampai nanti update kat wall FB, 'bosannya cuti sekolah ni, tak tau apa nak buat!'

4. Hang-out dgn ikhwah

Kalau tetiba terasa nak melepak, ajak la ikhwah (kalau pompuan tolong ajak akhwat). Abu Dzar yakin mesti ikhwah melepak dengan ikhwah lain kat tempat yang bermanfaat. Gi lepak kat kedai buku ke, lepak kat library ke kalau tak pun gi lepak kat rumah ikhwah...niat nak ziarah, dapat jugak pahala ziarah orang. Tapi kalau minat aktiviti outdoor, Abu Dzar cadangkan supaya gi Kem Remaja Sinergi. Mesti menarik!

Nak tau maklumat lanjut, boleh klik blog kem remaja sinergi ini. Kalau tak pun tanya je kat Abu Dzar pun boleh. I'll try my best to help =)

Read more...

Antara Takdir & Keinginan

>> Tuesday, October 23, 2012


"Rezeki secupak, takkan jadi segantang"

saya rasa kita perlu hilangkan peribahasa ini dari kamus hidup. Ramai orang yang saya kenal sudah banyak kali menyalahgunakan peribahasa ini dalam hidup mereka. Peribahasa ini, secara sedar atau tidak meletakkan tembok penghalang kepada usaha yang lebih besar.

Ramai orang hanya melepaskan batuk di tangga jika tiba kepada bab usaha. Beralasankan peribahasa tadi, mereka jadi bermalas-malasan untuk berusaha secara maksimum untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Tidakkah kita semua sedar bahawa kita akan berpuashati dengan hasil yang kita peroleh jika usaha yang kita lakukan benar-benar sehabis baik.

Atau mungkin juga usaha yang tak seberapa itu terdorong dari gambaran minda kita yang memang dari awal menjangkakan suatu kesudahan yang ala kadar. Justru, tidak hairanlah jika kita mendapat hasil yang tak seberapa. Sesuai dengan jangkaan awal kita!


Peranan Minda

Sebagai orang Islam, kita sepatutnya mempunyai akal yang mampu berfikir besar. Jangan kita sia-siakan anugerah Allah ini dengan berfikir ala kadar. Perbuatan ini sangat merugikan umat ini. Orang Islam perlu menjadi umat yamg sentiasa berfikir untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Jika anda seorang pelajar, berfikirlah untuk menjadi pelajar yang terbaik. Jika anda seorang boss, berfikirlah untuk menjadi seorang boss yang terbaik, jika anda seorang suri rumah, berfikirlah untuk menjadi suri rumah yang terbaik.

Untuk merealisasikan gagasan berfikir seperti ini, kita perlukan gambaran minda yang jelas. Mari saya kongsikan cerita rakan saya semasa saya sedang mengikuti program matrikulasi. Saya sempat berkenalan dengan seorang lelaki yang luar biasa hebat. Orangnya kurus akibat menderita penyakit diabetis pada usia muda. Terlalu banyak makanan yang dia tak boleh makan. Perkara yang luar biasa dari lelaki ini adalah dia mempunyai azam dan gambaran yang jelas untuk menjadi seorang doktor perubatan.

Ketika artikel ini ditulis, kawan saya tersebut telahpun tamat pengajian untuk program doktor perubatan di Universiti Padjajaran, Bandung, Indonesia. Saya sangat kagum dengannya. Walaupun hidupnya tidak seseronok orang lain, kerana hidupnya dikelilingi jadual makan dan pengambilan insulin. Namun kawan saya ini tetap berusaha semaksimum mungkin untuk mencapai cita-cita tersebut. Lebih membanggakan, kini rakan saya tersebut sedang bertugas di RSUP Dr. Hasan Sadikin, Bandung, Indonesia .

Rakan saya tadi tidak pernah menjadikan alasan kesihatan sebagai penghalang untuk mencapai kejayaan. Mindanya jelas berfikir untuk bertugas sebagai seorang doktor perubatan.

Tidak ada alasan untuk tidak berusaha

Dalam artikel kali ini juga saya suka untuk berkongsi akan peranan minda dalam memacu kejayaan hidup. Pada masa awal saya sebagai sorang mahasiswa, saya pernah terinspirasi dari seseorang untuk mengajar di MRSM apabila tamat belajar. Itulah menjadi titik tolak bagi saya melakar perjalanan hidup sebagai guru MRSM. Usia saya yang agak muda mungkin menyebabkan orang tidak percaya bahawa saya mampu mengajar dengan baik pada ketika itu. Namun, itu tidak pernah melemahkan semangat saya untuk terus berusaha.

Pernah satu ketika, saya mendapat nilai yang kurang menyenangkan ketika belajar. Nilai yang saya dapat pada ketika itu di bawah nilai 2.00. Namun saya anggap itu sebagai pembakar semangat dan pengalaman untuk dikongsikan kepada semua yang bergelar mahasiswa + daei. Kadangkala sesuatu yang pahit juga perlu ditelan untuk menjadikan seseorang itu benar-benar tahu erti sebenar kejayaan. Saya bangkit dan kembali berjuang mendapatkan pengiktirafan akademik yang berupa segulung ijazah.

Natijah nilai pointer yang rendah, saya mendapat 'denda' dari pihak PTPTN. Saya tidak mendapat pinjaman pada sem yang berikutnya. Itu memang prosedur yang diketahui umum terutamanya dikalangan mahasiswa. Saya berhutang dengan pihak universiti untuk beberapa sem kerana 'denda' tersebut. Hutang yuran pengajian tersebut hanya dapat saya langsaikan setelah saya tamat pengajian. Untuk mendapatkan duit poket, saya pernah berniaga menjual kuih di kolej kediaman. Pernah juga saya bekerja di kafe. Namun perkara yang paling manis untuk dikenang adalah pengorbanan ikhwah yang sanggup berkongsi wang pinjaman mereka bersama saya.

Nyatakanlah apa juga namanya dugaan dan rintangan yang datang, matlamat saya tetap jelas, menjadi tenaga pendidik di MRSM. Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa, pada ketika artikel ini ditulis, saya baru sahaja menjawat jawatan pegawai perkhidmatan pendidikan atau bahasa mudahnya guru. Malah sesuatu yang saya sangat bersyukur adalah jawatan ini saya sandang di MRSM Kota Kinabalu, sesuatu yang sangat saya impikan. Ternyata peranan mindalah yang memainkan peranan untuk saya dan kita semua mendapatkan setiap yang kita inginkan. Jangan sesekali kita salahkan takdir jika tidak berjaya memenuhi harapan dan cita-cita.

Jika kita undurkan sedikit perjalanan waktu, tentu pembaca akan dapati bahawa saya hanya berjaya menyelesaikan progam ijazah pertama dalam masa 5 tahun. Lewat setahun berbanding kawan-kawan sekuliah saya yang lain. Tambahan setahun tersebut saya perlukan untuk mengambil beberapa kursus lagi yang masih berbaki. Ternyata, bukan masalah IQ yang menjadi penentu kejayaan. Rezeki yang Allah berikan kepada kita memerlukan usaha yang tidak sedikit.

Rezeki adalah rahsia Allah

Memang rezeki secupak takkan jadi segantang. Tapi adakah kita tahu rezeki kurniaan Allah untuk kita hanya secupak? Atau mungkin Allah berikan secupak dahulu pada ketika ini untuk kita menggandakan usaha pada masa akan datang! Jangan salahkan takdir, jangan salahkan Allah. Lihat kembali usaha dan pengorbanan yang telah kita lakukan untuk mendapatkan hasil. Berfikirlah untuk menjadi yang terbaik!

Read more...

Sinergi Edisi 8

>> Thursday, October 11, 2012

Weh...majalah sinergi yang baru dah keluar beb!


ni la rupa majalah tu





maka saya mengajak semua berkejar-kejar mendapatkan senaskah sinergi untuk anda baca secepat mungkin. Kalau tak tau kat mana nak beli, try contact sinergi media


selamat membaca!

Read more...

Qiamulail Perdana KRS 2012 - Tips:Mudah Bangun Malam

>> Monday, June 18, 2012

Kali ini Abu Dzar nak berkongsi sedikit perkara yang Abu Dzar dapat pada Program Qiamulail Perdana KRS di Masjid UMS. Sekilas berkenaan progam ni, memang best dengan kehadiran ramai pelajar sekolah dari seluruh Sabah. Program yang memakan masa selama 2 hari ini memang banyak memberi manfaat kepada peserta.

Jadi kali ni, Abu Dzar nak berkongsi ilmu yang telah disampaikan oleh penceramah pada malam tersebut, Ustaz Issraq bin Hj Ramli (pensyarah pusat penataran ilmu & bahasa). Ceramah ini bertajuk, 'Qiamlah, anda sihat'. Tapi Abu Dzar tak berhajat untuk menulis balik semua yang telah disampaikan oleh Ustaz Issraq pada malam tersebut. Hanya beberapa petua untuk memudahkan kita bangun malam.

Makan malam sikit, sekadar alas perut

Ini adalah perkara pertama yang boleh kita lakukan untuk membantu kita bangun malam. Pastikan makan malam kita hanya untuk alas perut. Bukan jadikan objektif makan malam adalah untuk membuatkan kita kenyang-tersandar sampai tak larat nak bergerak. Secara logiknya, kalau dah makan kenyang. Mestila lepas tu kita akan terasa mengantuk dan akhirnya tidur lena. Dikhuatiri tidur ini memang benar-benar lena sampai kita hanya terjaga setelah azan subuh...terlepas la solat tajahud!

Jangan tinggalkan qailullah

Qailullah adalah tidur siang, sekejap sebelum zohor. Mesti ramai yang berminat nak try buat. Sebab tipsnya adalah 'suruh tidur'. Belum ada lagi orang yang tak suka tidur! Tapi pastikan kita dah siap kunci jam untuk bangun solat zohor. Atau lebih mudah adalah kita qailullah di masjid. Risau jugak, nanti sedar-sedar dah pukul 3petang. Maklum la, dapat peluang tidur!

Ramai orang kata, kadar sekajap ini adalah lebih kurang 15minit. Jangan pulak nanti, ada yang start qailullah pukal 10 pagi. Itu dah melebih tu, kalau siang dah tidur lama, Abu Dzar khuatir waktu malam nanti kita dah tak terasa mengantuk pada awal malam dan hanya boleh tidur lepas pukul 2 atau 3 pagi. Hal ini sangan menipiskan peluang untuk kita bangun menunaikan solat malam.

Mengetahui & benar-benar menginsafi keutamaan solat malam


Banyak cara yang boleh kita lakukan untuk mengetahui keutamaan solat malam. Luangkan masa beberapa minit, carilah buku-buku yang menceritakan keutamaan solat malam. Lebih mudah, cubalah tanya kepada incek google. Abu Dzar yakin, kita akan disajikan dengan ratusan malah mungkin ribuan fadhilat solat malam.

Seterusnya, untuk kita benar-benar menginsafi akan keutamaan solat malam, kita perlu sedar bahawa kita adalah hamba Allah yang lemah yang sangat memerlukan kekuatan dari Allah untuk menghadapi hari esok yang kita tak tahu bagaimana coraknya. Itulah sebabnya para sahabat Rasulullah dan salafussoleh berusaha keras untuk memastikan mereka tidak terlepas untuk solat malam.

Tingkatkan rasa cinta kepada Allah

Ikhwahfillah yang dirahmati Allah, kita harus sedar bahawa istiqamah diri kita untuk bangun malam adalah anugerah Allah. Maka Allah hanya berminat untuk bertemu dengan hamba yang mereka cintai sahaja. Itulah sebabnya ada orang yang lansung tak terjaga untuk solat malam. Boleh jadi dalam hati mereka terisi dengan rasa cinta kepada perkara lain. Boleh jadi kerja, perniagaan, anak-anak atau apa juga yang mungkin hingga mengenepikan cinta Allah. Dalam erti kata lain, kita perlu membersihkan diri & hati daripada segala unsur syirik. Baik yang nyata mahupun yang tersembunyi. Perkara ini hanya akan menambahkan jarak antara makhluk dengan Khaliq.


Itulah serba sedikit yang Abu Dzar dapat kongsikan. Mudah-mudahan sedikit perkongsian ini dapat membuatkan kita terpanggil untuk lebih istiqamah menjaga ibadah solat malam.

Kalau ada yang berminat untuk turut serta dalam program yang akan datang anjuran Neo-Sinergi Training Center (NSTC), bolehla rajin-rajin melihat perkembangan terkini di blog Kem Remaja Sinergi cawangan Sabah atau boleh add FB Kem Remaja Sinergi

Read more...

kasih sayang juga adalah harta

>> Sunday, June 03, 2012

Jarang Abu Dzar post berita pasal isu semasa, namun kali ini Abu Dzar rasa terpanggil untuk berkongsi pandangan dan pendapat bersama pembaca.

Dalam kegairahan rakyat cuba mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan WWW. Salah satu institusi raja di negara ini diseret kepada isu menggunakan wang yang bukan milik peribadi. Abu Dzar bukan hendak mendedahkan apa-apa fakta atau membongkar kenyataan yang terselindung. Cuma Abd Dzar rasa selaku seseorang yang mewarisi institusi kesultanan di negara ini, orang-orang tersebut perlu lebih banyak memikirkan keadaan dan kedudukan rakyat.


  • Adakah rakyat sudah dipastikan mampu makan nasi sekurang-kurangnya sekali sehari?
  • Adakah anak-anak muda di negara ini mampu menyambung pelajaran ke tahap yang sewajarnya?
  • Adakah prasarana negara sudah sangat baik untuk rakyat gunakan dengan selesa?
  • Adakah rakyat benar-benar merasai fungsi kesultanan di negara ini?
  • Adakah kasih sayang antara raja dan rakyat benar-benar terjalin atau raja hanya dikelilingi golongan pengampu?


Secara peribadi, Abu Dzar tidak akan ada masalah jika pihak istana hendak membeli atau membida apa juga yang ada di atas muka bumi ini sekiranya mereka mampu menjawab dengan tenang dan jujur. Malah Abu Dzar akan lebih bahagia sekiranya keinginan mereka dapat dipenuhi selepas mereka ini berusaha keras memenuhi keperluan rakyat.

Mudah-mudahan post yang singkat ini mampu membuatkan kita berfikir untuk agenda membangunkan ummah.Biarlah kita miskin asalkan kita boleh membantu masyarakat disekeliling mencapai sesuatu yang baik. Masyarakat hari ini sangat memerlukan seseorang yang sudi mengnyinsing lengan baju bagi membantu meringankan beban yang mereka tanggung.

Bantulah sesuai dengan kemampuan masing-masing. Abu Dzar bukan menyuruh semua orang mendermakan hartanya seperti yang dilakukan Abu Bakar untuk membantu Islam. Hanya sesuatu yang anda fikir anda mampu.


  • Jika anda seorang peniaga, mulalah berfikir agar masyarakat juga mempu menjana ekonomi mereka sendiri.
  • Jika anda seorang doktor, manfaatkanlah kepandaian anda untuk berfikir kepada usaha menyelesaikan masalah sosial masyarakat.
  • Jika anda seorang guru, gunakan status anda untuk menginspirasi masyarakat agar mencintai ilmu dan semailah rasa "ambil peduli" terhadap orang lain.
  • Jika anda seorang pelajar, subahanallah...anda mempunyai potensi yang jauh lebih banyak untuk disumbangkan kepada masyarakat.



Mari kita buktikan kepada "golongan kaya" bahawa wang bukanlah sesuatu yang kita kejarkan selama ini. Kami tidak pernah hairan dengan jumlah kekayaan yang mereka miliki. Kami sebenarnya inign hidup dalam kasih sayang yang tulus. Bukan dikelilingi pengampu yang hanya bertindak sebagai parasit. Menumpang dan mengambil manfaat untuk diri sendiri.

Read more...

Berlaku Ihsan Sesama Manusia

>> Sunday, May 13, 2012

Pernah pada suatu ketika, seorang perempuan tua sedang membawa barang-barang yang sangat banyak. Tiba-tiba datang seorang pemuda menyatakan hasrat untuk membantu perempuan tersebut. Maka perempuan tua tersebut bersetuju dengan syarat anak muda tersebut tidak bercerita kepadanya tentang Muhammad.

Perempuan tua dan anak muda tersebut meneruskan perjalanan lalu perempuan tua tersebut memulakan cerita;

“Kononnya Muhammad tu orang baik dan boleh dipercayai. Akan tetapi dia memecahbelahkan orang Arab dengan menyatakan bahawa Tuhan cuma satu”.

Ternyata perempuan tua ini sangat suka bercerita, dia menyambung ceritanya;

“Semua orang yang lemah, miskin dan golongan hamba telah disesatkan oleh Muhammad. Mereka rasa mereka bebas dari kemiskinan dan beroleh kekayaan dengan menuruti ajaran baru Muhammad tu”.

Dia terus menyambung cerita dan mengingatkan anak muda tersebut;

“Muhammad tu dah rosakkan pemikiran anak muda dan meyakinkan bahawa mereka adalah kuat. Jadi jangan sesekali kamu ceritakan apa-apa tentang Muhammad!”.

Setelah tiba di destinasi, anak muda tersebut meletakkan barang-barang perempuan tua tadi. Perempuan tua tersebut memandang anak muda yang membantunya. Sambil tersenyum, dia berkata,

“Terima kasih anak muda, kalau tak keberatan boleh mak cik tanya siapa nama kamu ye?”

...

“Maaf, apa yang kamu cakap tadi tak berapa jelas, maklum la telinga orang tua. Tapi kalau mak cik tak salah dengar, nama kamu Muhammad”.

Cerita ini berakhir dengan ucapan kalimah syahadah oleh perempuan tua yang sangat membenci orang yang bernama Muhammad pada awal permulaan cerita.

Sebenarnya cerita ini adalah dari lagu “Don’t Talk to me About Muhammad” nyanyian Dawud Wharnsby.

Kalau nak dapat feel boleh dengar kat youtube.com Abu Dzar dengar sampai verse yang dia mengucap tu menitis air mata.





Inilah yang dinamakan sebagai berlaku ihsan kepada sesama manusia.

Ihsan sesama manusia

Membalas perbuatan buruk orang lain dengan sesuatu yang baik.

Sempena sambutan Hari Ibu 2012, Abu Dzar suka untuk mengingatkan kepada semua pembaca untuk sentiasa berbuat baik kepada ibu masing-masing. Jika ada lah kiranya perbuatan ibu di mata anda terlihat tidak adil. Maka jangan terlalu cepat membuat kesimpulan bahawa ibu tak adil. Timbanglah dengan matang.

Mana mungkin ibu yang telah mengandungkan anda selama kurang lebih 9 bulan sanggup berbuat zalim kepada anak sendiri. Mereka lebih faham perkara yang baik untuk anda.

The marvelous mother
Abu Dzar juga suka untuk mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada Pn. Hasnah bt Ariffin yang merupakan ibu kandung kepada 6 orang manusia (Abu Dzar adalah salah sorang =P)


Read more...

Tahajud Cikgu

>> Monday, May 07, 2012

Profesion sebagai guru memerlukan seseorang itu banyak berinteraksi dengan pelajar. Hal ini berikutan peranan guru untuk mendidik dan mencorakkan pelajar-pelajarnya. Maka kemahiran komunikasi adalah satu perkara yang penting untuk dikuasai oleh guru.

Jika kita imbas kembali kepada zaman persekolahan kita dahulu. Abu Dzar yakin dan percaya, kita akan terkenang kepada beberapa orang guru yang mampu mengendalikan sesi pembelajaran dengan baik. Tidak lupa juga kepada guru yang mempunyai perwatakan yang membosankan pelajar. Ini adalah realiti. Meskipun guru telah dilatih sebelum dihantar mengajar di sekolah-sekolah, hakikatnya guru adalah seorang manusia.

Natijahnya, ada pelajar yang mengkategorikan guru-guru mereka;

  • Cikgu yang best
  • mudah faham kalau mengajar
  • tak cepat marah
  • ada nilai humor
  • banyak bagi nasihat
  • kuat bersukan (baca: sporting)

Secara jujurnya, ada guru yang membosankan@menakutkan
  • Cikgu yang tak best
  • garang tahap gaban
  • tak senyum dengan student lansung
  • mengajar tak faham
  • ponteng kelas ni lagi bagus

Apa kaitan antara tahajud dan menjadi guru yang berkerampilan? Secara dasarnya, menjadi guru yang berkerampilan memerlukan seseorang guru itu memiliki hubungan yang baik dengan Allah. Justru itu, kali ini dengan rendah hatinya Abu Dzar tampil dengan satu nasihat dan cadangan kepada semua guru yang ada di atas muka bumi ini. Guru perlu bangun untuk solat tahajud.

73:1. Hai orang yang berselimut (Muhammad),
73:2. bangunlah (untuk sembahyang) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya),
73:3. (yaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit,
73:4. atau lebih dari seperdua itu. Dan bacalah Al Qur'an itu dengan perlahan-lahan.
73:5. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.
73:6. Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk khusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan.
73:7. Sesungguhnya kamu pada siang hari mempunyai urusan yang panjang (banyak).
~Surah al-Muzammil ayat 1 - 7

Ya guru perlu bangun untuk solat tahajud. Walaupun anda hanya seorang guru kemahiran hidup atau pendidikan seni. Bangun untuk solat tahajud bukan milik ekslusif ustaz dan ustazah yang menngajar Pendidikan Islam, solat tahajud adalah sesuatu yang sangat penting untuk semua guru. Bukan subjek yang menjadi faktor penentu. Profesion itu sendiri sebenarnya yang memerlukan anda untuk bertahajud.

Mari kita buka kembali kitab sejarah untuk mengetahui sejauh mana insan yang hebat menyantuni ibadah solat tahajud.

Sahabat Rasulullah yang bertebaran menyebarkan agama Islam tidak pernah jauh dari ibadah tahajud. Buktinya, ketika Abdullah Ibn Abbas masih kanak-kanak, beliau pernah bangun pada suatu pagi yang hening dan mendapati Rasulullah sedang bertahajud. Lantas beliau berwudhuk dan ikut bersolat di belakang Nabi saw.

Impak dari melakukan solat tahajud adalah 'perkataan yang berkesan'. Guru yang berkesan sangat memerlukan perkataan yang berkesan.  Tapi apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan yang berkesan?

Perkataan yang berkesan adalah kata-kata yang membekas di hati pendengar. Dalam hal ini, pendengar kita adalah pelajar. Pelajar yang mendengar nasihat (atau mungkin lebih tepat adalah bebelan) yang kita ucapkan akan lebih terkesan di hati.

Abu Dzar yakin mesti ada guru yang mengingatkan pelajarnya untuk sentiasa menjaga kebersihan. Tapi, cuba kita perhatikan perbuatan pelajar apabila ternampak sampul gula-gula di bawah bangku taman permainan. Ada yang berpura-pura tak nampak. Ada juga yang ringan tulang membongkokkan badannya dan mengutip sampah tersebut untuk dibuang ke dalam tong sampah.

Pelajar yang tidak membuang sampah tadi bukan tidak tahu bahawa mereka perlu menjaga kebersihan, walaupun bukan dia yang menikmati manisnya gula-gula tersebut. Akan tetapi, ini adalah buah dari perkataan yang berkesan.



Jika hal ini berlaku, maka para guru tidak perlu berbuih mulut untuk mengingatkan pelajar mereka dengan perkara yang sama berulang-ulang. Cukup sekali atau dua dan pesanan tersebut akan melekat di hati dan minda mereka.

Selepas memikirkan besarnya pahala dan kesan kepada pelajar, Abu Dzar mengajak semua yang berkhidmat sebagai pendidik untuk bangun menunaikan solat tahajud. Semoga kita mendapat redha Allah.

Read more...

Promosi; Majalah Sinergi Edisi ke-7

>> Wednesday, February 08, 2012

Jika anda sudah membaca majalah Sinergi edisi ke-6 sebelum ini. Jangan ketinggalan untuk dapatkan edisi ke-7 dipasaran!

Antara yang menarik untuk edisi kali ini adalah;

  • Momentum Dakwah: Jangan Simbah Minyak Pada Api
  • Global Islam: Filem, Oh Ini Tujuannya
  • Liputan program Kem Remaja Sinergi 2011
  • banyak lagi yang menarik untuk pembaca sekalian

Jangan ketinggalan, dapatkan majalah ini dari pengedar Sinergi yang berhampiran dengan tempat anda

Ini Abu Dzar ambil dari web page sinergi media


Assalamu’alaikum wbt,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, SINERGI Edisi Ke-7 yang bernafas baru bakal memberikan semua pembaca sebuah pengalaman baru memiliki Majalah SINERGI edisi kali ini.  Semoga “Wajah dan Tema” SINERGI bermula edisi ke-7 kali ini meningkatkan lagi minat para pembaca SINERGI.


HANYA RM3.00 !!!

Terima kasih juga kepada semua pembaca yang sudi memberikan komen dan kata-kata semangat kepada kami untuk kami terus meningkatkan kualiti majalah SINERGI ini. InsyaAllah kami akan sentiasa prihatin menerima komen pembaca di emel synergymedia(at)gmail(dot)com atau sms ke 019-4544871. Komen anda amat kami perlukan.

InsyaAllah kepada yang belum mendapatkan edisi terbaru majalah SINERGI, atau edisi-edisi sebelum ini, pastikan anda mendapatkannya secepat mungkin sementara stok masih ada.

Kepada semua pengedar berdafatar SINERGI, anda sudah boleh membuat tempahan kepada kami untuk tujuan penghantaran ke kawasan pengedar masing-masing. Bagi yang berminat menjadi pengedar, boleh muat turun Borang Permohonan Pengedar dan hantarkan ke emel synergymedia(at)gmail(dot)com
Bagi memudahkan proses pembelian para pembeli, kami dari pihak Synergy Media Sdn Bhd (SMSB) menyediakan satu kaedah belian yang mudah jika anda tidak mampu mencari dan membeli dari pengedar kawasan anda.

anda hanya perlu muat turun (download) dan mengisi Borang Belian Individukemudian hantar ke emel kami di synergymedia2010@gmail.com

Kaedah ke-2, anda boleh lebih mudah mendapatkan Majalah Sinergi setiap edisi dengan melanngan mengikut kehendak anda..hanya isi Borang Langganan Majalah Sinergi dan hantar ke synergymedia2010@gmail.com.

Jadi jangan ketinggalan untuk dapatkan senaskah sinergi anda secepat mungkin!

Read more...

Larangan Melihat Wanita

>> Sunday, February 05, 2012


  • jaga pandangan mata
  • jangan melihat sesuatu yang tidak halal untuk kita
  • jangan menoleh buat kali ke dua

Apa juga ayat yang digunakan, semua itu sebenarnya merujuk kepada perkara yang sama. Larangan melihat wanita.

Memang fitrah sebagai seorang lelaki akan tertarik kepada wanita. Begitu juga sebalikknya. Namun apalah maknanya fitrah jika Allah tidak redha. Berusahalah untuk medapatkan yang halal untuk dipandang. Jangan dilayan nafsu yang hanya menuntun kita kepada kemaksiatan.

Abu Dzar yakin jika kita telah ditarbiyah dengan baik, kita akan faham benar akan  larangan Allah agar kita menahan pandangan mata. Sebagaimana yang dirakamkan dalam al-Quran;

“Katakanlah kepada kaum lelaki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan”. Katakanlah kepada kaum wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya.” (Surah An-Nur [24]: 30-31)

Ayat ini memerintahkan agar kita dapat menahan pandangan mata dan juga memelihara kemaluan. baik lelaki mahupun wanita. Untuk bacaan yang lebih mendalam berkaitan hal ini, boleh baca di link ini.
Kerana itu,Allah memerintahkan kita untuk menutup aurat dengan sempurna! baik lelaki mahupun wanita. Menurut kefahaman umum masyarakat Malaysia, aurat bagi lelaki adalah dari pusat hingga lutut manakala wanita pula adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan.

Siapa pun kita, jangan sesekali memandang ringan perkara yang berkaitan dengan aurat! Abu Dzar suka untuk berpesan kepada semua agar kita menutup aurat dengan sempurna.

Niqob

Ini adalah suatu fenomena baru bagi muslimah di Malaysia. Menambah sehelai kain yang menutup muka. Atau nama lainnya adalah purdah. Abu Dzar secara peribadi tidak menyuruh dan tidak juga menghalang muslimah yang ada di Malaysia ini untuk memakai purdah. Cuma risau akan golongan berpurdah ini jauh lebih menarik perhatian lelaki di Malaysia.


Mungkin jika di timur tengah, tidak menjadi suatu keganjilan jika wanita berpurdah. Kerana memang itu adalah kod etika pemakaian mereka. Akan tetapi Abu Dzar rasa pamakaian purdah ini kurang sesuai di Malaysia kerana hanya akan menjadi tarikan bagi lelaki. Sedangkan jika kita lihat kembali garis panduan berpakaian dalam Islam bagi muslimah adalah agar tidak menjadi perhatian lelaki.

Boleh dengar ceramah Ustaz Dr Zaharuddin Abdul Rahman tentang panduan hubungan lelaki wanita di channel youtube TVsunnah. Indahnya Islam dalam menjaga wanita seperti yang di khabarkan oleh Ustaz Dr Zaharuddin adalah wanita muslimah sepatutnya pandai mengatur strategi agar orang lelaki tidak sedar akan kehadiran mereka. Atau bahasa lainnya, datang tak diketahui dan perginya tak disedari. Kalau bahasa sastera Abu Dzar pula adalah wanita bagi lelaki asing ini sepatutnya ibarat melukut di tepi gantang, masuk tak lebih, keluar tak kurang.

Bagi yang tak tau apa maksud melukut, jasa baik Pusat Rujukan Persuratan Malayu telah menterjemahkan bahawa melukut adalah pecahan beras yg halus-halus. Gantang pula adalah unit sukatan yang besarnya empat cupak dan digunakan untuk menyukat beras. Melukut ini lansung tak memberi kesan kepada jisim beras yang ada dalam cupak.

Berbalik kepada isu purdah, lelaki di Malaysia mungkin ada yang dapat menahan pandangan mereka jika bertembung dengan yang berskirt pendek. Tapi ada juga yang tidak dapat menahan pandangan mereka apabila terpandang wanita yang berpurdah. Mereka beranggapan bahawa tidak apa-apa memandang wanita yang berpurdah kerana tidak nampak apa yang berada di sebalik kain tersebut.

Jelas, tanggapan ini salah. Walaupun tidak nampak, di sebalik kain tersebut masih seorang wanita dan lalaki masih sangat perlu untuk memegang dalil dari surah 24, ayat 30. Tahan pandangan mata.
Itu yang mampu dan perlu dibuat oleh lelaki. Perkara yang boleh dibuat oleh wanita pula adalah bertudung labuh. Bukan berpurdah. Tolonglah kami kaum lelaki yang berusaha menjaga iman.

Satu artikel yang Abu Dzar rasa bagus untuk bacaan kita adalah dari tulisan dari myilham.com yang bertajuk “Niqobis Sebenarnya Lebih Menarik Perhatian Lelaki”. Ternyata perkara yang ditulis ini benar-benar berlaku di sisi lelaki.

Bertudung labuh sudah cukup baik menurut uruf di Malaysia. Nanti jika sudah semua wanita Islam di Malaysia sedah menutup aurat dengan sempurna, barulah kita ulang tinjau keparluan berpurdah untuk muslimah.

Read more...

Awasi Bahaya Istidraj

>> Monday, January 23, 2012


Pernah suatu ketika Rasulullah saw bersabda, "Jika kamu melihat Allah memberi kepada seorang hamba habuan dunia atas maksiat yang dilakukannya dari apa yang disukainya, maka sesungguhnya itulah istidraj".

Lalu Rasulullah saw membaca (surah al-An'aam ayat 44): Maksudnya: "Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)."(Hadis riwayat Ahmad)

Ayat tersebut adalah maksud kepada perkataan istidraj yang Rasulullah sebutkan...istidraj.

Kesenangan & Kemewahan Yang Menipu

Dewasa kini, kita banyak mendengar berita kejayaan dan kecemerlangan yang Allah berikan kepada penganut agama Islam di Malaysia. Kejayaan pelayar solo Azhar Mansor mengelilingi dunia, kejayaan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor menjalankan kajian di ISS,  Kejayaan Pasukan Harimau Malaya berjaya meraih pingat emas dalam sukan SEA kali ke-26 dan paling hangat ketika ini, kejayaan pelajar cemerlang SPM tahun 2005 yang kini sedang melanjutkan pengajian di University of Nottingham.

Tidak kira apa juga kejayaan yang kita kecapi, perkara yang paling penting adalah kita lalai dengan semua rahmat yang Allah beri tersebut. Disamping itu, jangan sesekali kita berkhianat dengan merasa sombong atas kejayaan tersebut.

Apalah makna semua kejayaan tersebut ini jika tidak disertai dengan rasa syukur kepada Allah yang tidak pernah putus. Sebagai hamba yang daif, kita sangat perlu untuk merasa seba kekurangan di atas segala nikmat yang Allah berikan. Tidak mungkin kita peroleh semua yang kita ada pada ketika ini melainkan dengan izin Allah.

Lipatan sejarah peradaban manusia menceritakan bahawa ada segolongan manusia yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Kurniaan yang Allah berikan berupa kepakaran mengukir batu-batu (rujuk surah Fatir, ayat ke-9) kepada Kaum Tsamud lansung tidak menjadikan mereka lebih dekat kepada Allah. Malah lebih jauh meninggalkan Allah. Namun Allah tetap sahaja terus memberikan nikmat tersebut hinggalah mereka ini akhirnya Allah mengazab mereka dengan panahan petir.

Istidraj

Menurut Professor Dr.Qahtan Ad-Duri, Al-Istidraj adalah perkara luar biasa yang berlaku ke atas orang fasik atau kafir sebagai tipu daya buat mereka. Ia akan menambahkan lagi kejahilan dan kebodohan mereka sehinggalah balasan Allah s.w.t menimpa mereka di dalam keadaan mereka lupa.

Ayat ke-182 dari surah al-A’raf ada menyebutkan bahawa

“Dan Orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, akan Kami biarkan mereka beransur-ansur (kearah kebinasaan), dengan cara yang mereka tidak ketahui.

Perkataan “sanastadrijuhum” merujuk kepada Kami biarkan mereka.

Justru itu, tidakkah boleh kita faham bahawa kita sangat perlu untuk memohon agar Allah sentiasa mengawasi setiap tindak tanduk kita agar sentiasa mematuhi syariat yang Allah tetapkan. Tidak ada yang lebih penting dalam hidup ini melainkan perhatian dari Allah. Jika Allah sudah memperhatikan setiap tingkah laku kita sehari harian, maka kita akan sentiasa membuat perkara yang mendapat redha Allah sahaja. Tidak lebih dari itu.

Perhatian Allah

Sebagai penutup, Abu Dzar ingin membawa pembaca mencari jalan untuk mendapatkan perhatian Allah. Untuk tujuan tersebut, mari kita perhatikan qoute ini;

I'm happy,
you know why?
coz I'm lucky,
you know why?
coz God loves me,
you know how?
He sent me a nice friend to me,
you know who?
it's YOU

cuplikan dari http://himpunansms.blogspot.com/

Secara mudahnya, cara untuk mendapatkan perhatian Allah adalah kita cuba untuk berkawan dengan orang-orang yang soleh. Kerana mereka inilah yang akan mengingatkan kita tatkala kita terlupa dan  menegur kita tatkala kita tersilap. Mara berkawanlah dengan orang-orang yang soleh

Read more...

Belajar Hidup Susah

>> Thursday, January 12, 2012



Bayangkan kita berada pada pagi hari minggu yang indah, kita terjaga dan melakukan rutin harian di rumah. Mula dengan tahajud,sarapan pagi, bercerita bersama anak-anak, bantu isteri-isteri mengemas rumah, membaca surat khabar hinggalah tidur kembali. Hari minggu memang sangat sinonim dangan aktiviti melepak di rumah. Jika tidak kerana ingin solat berjemaah di surau atau keluar membeli barang, pasti kita akan rasa berat hati untuk meninggalkan rumah.

Zon Selesa

Ini adalah fitrah. Kita akan cenderung untuk berada dirumah kerana kita berasa selamat dan selesa berada di rumah. Rumah adalah zon selesa kita. Pasti kita akan rasa berat hati untuk meninggalkan rumah kita. Berada disamping isteri tercinta, anak-anak yang semakin membesar dan juga harta kekayaan yang telah kita usahakan. Ini akan membuatkan kita semakin tidak sanggup untuk keluar dari zon selesa.

Keselesaan kita berada di zon selesa akan membuatkan kita cenderung untuk kita hidup mewah. Berada di rumah yang besar pasti akan lebih enak jika di hias dengan set sofa dan katil yang empuk. Peti ais di dapur akan lebih berguna jika setiap kali kita buka , kita dapati pelbagai jenis makanan dan buah-buahan ada di dalamnya.

Siapa yang tidak suka jika hidup serba mewah. Tatkala teringin untuk makan nasi baryani, mudah sahaja kita dapatkan. Tatkala merasa bosan dengan handphone yang sedia ada, mudah sahaja kita tukar dengan yang lain. Dikala terfikir untuk melancong ke luar negara, sekelip mata sajaha kita sudah berada di Perancis, Jerman atau New Zealand.

Bukanlah Islam melarang kita untuk hidup serba lengkap. Tapi Abu Dzar hanya ingin mengingatkan kita semua agar sentiasa waspada terhadap kemewahan yang kita kejar. Mari kita renungkan bersama hadith Rasulullah ini;

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a., "Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw. di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus'ab bin Umair r.a. dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit. Tatkala Rasulullah saw.melihat kepadanya Baginda menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus'ab ketika berada di Mekkah dahulu (kerana sangat dimanjakan oleh ibunya) dan kerana memandang nasib Mus'ab sekarang (ketika berada di Madinah sebagai seorang Muhajirin yang terpaksa meninggalkan segala harta benda dan kekayaan diMekkah).
Kemudian Nabi Muhammad saw. bersabda, "Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian, dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkatkan satu hidangan diletakan pula satu hidangan yang lain. Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu sebagaimana kamu memasang kelambu Ka'bah?". Maka jawab sahabat, "Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki". Lalu Nabi saw. bersabda, "Tidak! Keadaan kamu pada hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu". (H.R. Tirmizi)

Subahanallah, Abu Dzar merasakan seolah-olah kita adalah golongan yang Rasulullah sebutkan itu. Jika kita fahami kembali berdasarkan ayat yang dilafazkan oleh para sahabat “…tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada di hari ini. Kami akan menberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah mencari rezeki”. Para sahabat menduga dengan kesenangan hidup akan menghantarkan diri kepada tumpuan dalam perkara ibadah kepada Allah. Namun ternyata sangkaan sahabat tersebut disangkal oleh Rasulullah saw. Rasulullah sangat faham akan titik lemah seorang manusia berdasarkan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat ke-14;

“Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).”

Kesenangan hidup didunia ini adalah titik lemah manusia. Justru itu, kita harus sentiasa waspada dengan apa jua bentuk kesenangan yang datang kepada kita. Jangan sampai kita leka dan lalai hingga Allah azab dengan kesenangan tersebut. Azab yang berupa kesnangan ini dinamakan sebagai istidraj.

Belajar Hidup Susah

Dewasa kini, ibubapa atau siapa juga penjaga kepada anak-anak cenderung untuk memberikan kemewahan kepada anak-anak mereka. Berikan mereka permaian yang mereka minta, berikan mereka segala jenis gadget atau apa juga namanya yang ada dipasaran. Kesan secara tidak lansung, kita terdidik dengan kemewahan hidup. Minta sahaja, pasti akan termakbul. Kesan buruk disebalik kemewahan ini adalah mereka tidak pandai membezakan antara keinginkan dan juga kehendak.



Oleh itu, sekali lagi Abu Dzar tegaskan bahawa kita perlu belajar hidup susah. Belajar hidup susah akan membuatkan kita tahu membezakan antara kehendak dan juga keperluan. Hal ini kerana, realiti hidup pada zaman ini memerlukan celik akal yang terdidik dari kesusahan hidup sebagai panduan. Belajarlah untuk hidup susah kerana itu akan lebih mampu mengekalkan jati diri sebagai seorang Muslim. Buktinya, bacalah tinta sejarah emas kehidupan Rasulullah dan para sahabat. Tidak kira baik sewaktu berada di Makkah atau pun setelah berhijrah ke Madinah, mereka ini tetap mampu memelihara nilai sebagai seorang Muslim.

Akibat terbiasa dengan hidup susah, kita tidak pernah terbaca mana-mana kisah sahabat bermewah dengan harta. Walaupun mereka adalah businessman yang sangat kaya. Paling mengagumkan adalah infaq Abdurrahman bin Auf untuk perang Tabuk. Abdurahman menyumbangkan 200 uqiyah emas (1 uqiyah setara dengan 50 dinar) 1 dinar = 4,25 gram emas. Secara matematiknya, Abdurrahman menyumbangkan 42.5 kg emas. Bagi yang berminat untuk tahu nilai dalam Ringgit Malaysia, Abu Dzar Cuma nyatakan bahawa 1 Dinar pada ketika ini adalah hampir RM 700. Tekanlah kalkulaor, anda pasti terperanjat!

Sekali lagi Abu Dzar mengingatkan kepada pembaca, belajarlah untuk hidup susah. Kerana kesusahan akan membuatkan kita lebih rapat dengan Allah. Belajarlah untuk hidup susah, kerana kesenangan sebagai seorang Muslim adalah apabila kita dapat melihat wajah Allah di syurga yang kekal buat selama-lamanya.

Read more...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

bebas diulang cetak. Powered by Blogger.

About This Blog

blog ini adalah hasil cetusan pendapat dan titipan ikhlas seorang insan kerdil di celah umat

sebarang pertanyaan boleh di emailkan ke ismiabudzar[at]gmail[dot]com

Flag Counter

free counters

  © Blogger templates Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP